MCMC

 

Kuala Lumpur, 02 Ogos 2024, 12:00 – SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menjalankan sesi rundingan awam bagi membentuk garis panduan lengkap yang menjelaskan keperluan etika dan tanggungjawab yang perlu dipatuhi oleh semua penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial.

Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan bahawa garis panduan tersebut akan dibangunkan dalam tempoh penangguhan sebelum pelaksanaan kerangka kawal selia yang akan bermula dari hari ini sehingga 31 Disember.

“Antara lain, pemberi perkhidmatan dikehendaki untuk memperkenalkan langkah-langkah yang kukuh berkaitan perlindungan data pengguna, pengesahan umur untuk menghalang penggunaan platform yang disediakan oleh pemberi perkhidmatan tersebut oleh pengguna di bawah umur 13 tahun, kaedah menangani kemudaratan dalam talian dan meningkatkan penyederhanaan kandungan.

“Selain itu, langkah-langkah untuk memudahkan prosedur aduan pengguna dan mengurangkan tempoh maklum balas serta langkah-langkah untuk menguruskan ‘deepfakes’ dan kandungan berbahaya yang dijana oleh Kecerdasan Buatan (AI), juga perlu diberi penekanan oleh pemberi perkhidmatan tersebut,” katanya.

Kerangka kawal selia untuk perkhidmatan pesanan internet dan media sosial telah diwartakan hari ini dan akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025.

Oleh itu, semua pihak berkepentingan termasuk pertubuhan masyarakat sivil (CSO), badan bukan kerajaan (NGO), penyedia perkhidmatan, dan orang awam dijemput untuk memberikan maklum balas apabila sesi rundingan awam dimulakan.

MCMC juga memaklumkan bahawa pengguna perkhidmatan yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan tersebut tidak akan terjejas oleh kerangka kawal selia ini. Hanya penyedia perkhidmatan yang perlu mendapatkan lesen daripada MCMC sekiranya memenuhi kriteria pelesenan.

Contoh penyedia perkhidmatan yang terlibat termasuk Facebook, Facebook Messenger, Instagram, Telegram, TikTok, WeChat, WhatsApp, X (Twitter), dan YouTube.

“Pengguna sebaliknya akan mendapat manfaat dengan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan dan pengalaman yang lebih baik hasil pematuhan terhadap undang-undang Malaysia secara proaktif oleh pemberi perkhidmatan.

“Pengguna boleh menjangkakan persekitaran dalam talian yang lebih selamat serta saluran aduan yang lebih jelas berkaitan kemudaratan dalam talian,” katanya.

MCMC menyatakan bahawa langkah memperkenalkan kerangka kawal selia ini diambil untuk memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dan perjudian dalam talian, buli siber, serta jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Suruhanjaya itu juga memaklumkan bahawa semua penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Mana-mana penyedia perkhidmatan yang beroperasi tanpa lesen selepas tempoh tersebut akan dianggap melakukan kesalahan, dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil.

Maklumat terperinci mengenai kerangka kawal selia ini boleh didapati di laman web MCMC di https://www.mcmc.gov.my/.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Meta Jangan Jadi Perkakas Israel – Anwar