Meta Zionis

 

Kuala Lumpur, 01 Ogos 2024, 12:00 – PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan terhadap pihak Meta Platforms Inc (Meta) supaya tidak menjadi perkakas rejim Zionis.

Melalui satu hantaran di Facebook, Perdana Menteri mengkritik keras tindakan Meta yang sekali lagi bertindak biadab dan menghina perjuangan rakyat Palestin dengan menurunkan video serta ucapan takziah dan kritikan terhadap pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh.

Anwar berkata, adalah tidak masuk akal apabila hantaran yang menghormati seorang pejuang yang berusaha memerdekakan tanah airnya daripada kezaliman dan penderitaan dianggap sebagai berbahaya.

“Peringatan tegas saya terhadap Meta – usah jadi bacul dan perkakas rejim zalim Zionis Israel!” katanya.

Semakan di akaun Instagram Perdana Menteri mendapati, tiga hantarannya yang mengutuk pembunuhan Ismail Haniyeh dan berkongsi gambar pertemuan dengan pemimpin Hamas itu telah diturunkan daripada platform media sosial tersebut.

Penurunan hantaran itu disertakan dengan kapsyen “Individu dan organisasi berbahaya”.

Pejabat Perdana Menteri mengecam tindakan Meta yang sekali lagi menurunkan gambar perjumpaan Anwar dengan pemimpin Hamas di Doha, Qatar daripada Instagram.

Bahagian Media dan Komunikasi Strategik, Pejabat Perdana Menteri melalui hantaran di laman Facebook menyatakan bahawa tindakan itu jelas menunjukkan diskriminasi terhadap situasi di Palestin dan pemimpin negara tersebut.

“Sehubungan itu pihak kami menuntut penjelasan berhubung perkara ini, dan mendesak Meta memohon maaf,” menurut kenyataan itu yang turut dikongsikan pada akaun media sosial rasmi Perdana Menteri.

Pada 14 Mei lalu, Perdana Menteri berkongsi gambar pertemuan bersama pemimpin Hamas termasuk Ismail Haniyeh di media sosial rasminya, namun Meta telah menurunkan hantaran tersebut tidak lama kemudian.

Tindakan itu dikecam, sehingga Meta terpaksa memuat naik semula hantaran berkenaan.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Kerajaan Negeri Perlu Serius Tangani Penerokaan Tanah Secara Haram