Penerokaan Haram

 

Kuala Lumpur, 01 OGOS 2024, 16:00 KERAJAAN Pahang diminta mengambil tindakan tegas dalam menangani isu penerokaan tanah secara haram di negeri ini.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, bahawa isu ini telah menyebabkan kerugian besar kepada negeri.

“Kita (kerajaan) tidak boleh rugi lagi dengan sumber-sumber hasil, yuran, sewa tanah dan sebagainya.

“Sudah berpuluh tahun rugi, dah sampai masa kerajaan perlu celik dan beri fokus dengan masalah ini, kalau tidak masalah lebih besar seperti mana kita lalui sekarang,” titah baginda.

Baginda bertitah sedemikian selepas berkenan berangkat mencemar duli sempena lawatan rasmi adinda Raja Jordan, Putera Ali Ben Al-Hussein ke Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) di Lanchang pada Rabu.

Turut berangkat ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Al-Sultan Abdullah menekankan bahawa isu penerokaan tanah haram bukan sahaja berlaku di Cameron Highlands tetapi juga di seluruh daerah di Pahang.

“Banyak lagi tanah-tanah yang diterokai secara haram di seluruh daerah, saya tahu di Raub, Bentong, Rompin dan sebagainya,” titah baginda.

Baginda juga menzahirkan kebimbangan apabila tanah di Pahang mula ‘dijajah’ oleh pendatang asing secara terang-terangan disebabkan kurangnya integriti.

Sebagai contoh, tanah-tanah di Cameron Highlands yang dipajak dan disewa kepada petani kini disewakan kepada warga asing.

Dalam Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Sultan Pahang di Balai Mahkota Istana Abdulaziz pada hari Selasa, Sultan Abdullah turut meluahkan rasa puas hati dengan pengurusan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang menyelenggara pusat konservasi tersebut.

“Alhamdulillah..saya berpuas hati dengan cara Perhilitan menyelenggara taman ini. Saya lihat 25 ekor gajah dalam keadaan tempat pun sama dan banyak perubahan sikit.

“Saya juga dimaklumkan menerima banyak kehadiran pengunjung, 200,000 hingga 250,000 orang setiap tahun,” titah baginda.

Sultan Abdullah berharap kerajaan akan memberikan peruntukan khas kepada PKGK dan MTCC bagi meningkatkan fasiliti dan kemudahan sejajar dengan statusnya sebagai destinasi tarikan pelancong.

“Alhamdulillah, kedua-dua tempat ini perlu dijaga sebagai daya tarikan seluruh negara.,malah saya dimaklumkan ada cadangan tambah haiwan seperti seladang, tapir dan sebagainya,” titah baginda.

Kredit – SHarian

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Kisah Wira Negara Yang Perlu Dikenang