Kuala Lumpur, 01 Ogos 2024, 12:00 – PERSEMBAHAN pantomin ‘Op Subuh’ sempena Hari Pahlawan 2024 di Dataran Pahlawan, Putrajaya pada hari Rabu benar-benar menyentuh hati, mengingatkan kita betapa sukarnya pahlawan negara mempertaruhkan nyawa mereka.
Berdasarkan kisah benar, ‘Op Subuh’ mengisahkan pertempuran antara pasukan keselamatan negara dengan sekumpulan individu yang menggelar diri mereka sebagai Al-Maunah, yang merancang untuk menggulingkan kerajaan.
Operasi yang diketuai oleh bekas Panglima Medan Tentera Darat Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Mohd Zaini Mohd Said itu berjaya menewaskan ketua kumpulan Al-Maunah dan membuatkan semua anggotanya menyerah diri.
Mengimbas kembali peristiwa pada pertengahan tahun 2000, rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita tentang kumpulan Al-Maunah. Mereka telah melakukan pencerobohan nekad ke atas sebuah kem Rejimen Askar Wataniah di Perak.
Kumpulan ini berjaya melarikan sejumlah besar senjata api dari stor simpanan senjata dan membawa kesemua senjata yang dicuri itu ke sebuah pangkalan rahsia di kawasan hutan berhampiran perkampungan di Bukit Jenalik, Sauk, Perak.
Seramai 29 orang dipercayai terlibat dalam misi menggulingkan kerajaan Malaysia dan mereka semua dipimpin oleh Mohamed Amin Mohamed Razali.
Seramai 300 anggota tentera telah dihantar ke kawasan persembunyian kumpulan tersebut bagi mengepung dan menyekat pergerakan mereka.
Tragedi hitam selepas 43 tahun negara kita mencapai kemerdekaan, termasuk selepas semua ancaman komunis berakhir itu, turut mengorbankan dua anggota keselamatan iaitu Detektif Kpl R Sanghadevan dari Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia serta seorang anggota komando Grup Gerak Khas Angkatan Tentera Malaysia, Truper Mathew Medan.
Hari Pahlawan diraikan sejak 31 Julai 1960 sebagai manifestasi penghormatan kepada pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengenang jasa perwira tanah air yang gugur ketika mempertahankan kedaulatan negara.
Buat semua anggota pertahanan negara, para pahlawan dan para perajurit yang berjuang demi agama, bangsa dan negara, Selamat Menyambut Hari Pahlawan 2024.
Segala pengorbanan dan khidmat bakti anda amat dihargai. Terima kasih wira negara!
Kredit – SHarian
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Platform Media Sosial Beri Respons Positif Terhadap Kerangka Kawal Selia Baharu