Kuala Lumpur, 09 Ogos 2024, 11.00 malam – SEORANG Peguam dari LFL, Zaid Malek, bersama 29 badan bukan kerajaan (NGO) telah menyerahkan memorandum kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuka semula kes kematian pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), J Soosaimanicckam, enam tahun lalu. Memorandum tersebut diserahkan pada jam 10.45 pagi semalam kepada pegawai PDRM di Bukit Aman.
Mewakili keluarga pegawai kadet itu, Zaid Malek berkata, pada 1 Ogos lalu pihaknya membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berhubung keputusan itu, namun sehingga kini tiada maklum balas daripada pihak PDRM. Sehingga kini, pihak keluarga mendiang Pegawai Kadet TLDM Soosamanickam masih
tidak dihubungi oleh pihak polis.
Pada 29 Julai yang lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh telah mengklasifikasikan kematian pegawai itu sewaktu menjalani latihan pegawai kadet di Lumut pada 19 Mei 2018 sebagai kes homisid. Selepas laporan polis dibuat pada 1 Ogos 2024, keluarga mendiang Soosamanickam tidak dimaklumkan sama ada siasatan sedang dijalankan atau belum. Perkara itu telah disuarakan oleh Zaid selepas menyerahkan memorandum di Bukit Aman, semalam.
Zaid berkata, pihaknya memulakan langkah pertama dengan menyerahkan memorandum yang ditujukan kepada Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain) supaya memulakan siasatan di bawah Seksyen 302 iaitu membunuh dan atau 304 Kanun Keseksaan iaitu dengan cuai menyebabkan kematian.
Abang kepada mendiang Soosamanickam yang dikenali sebagai Charles berharap PDRM dapat membela dan memberikan keadilan atas kematian adiknya dengan mengheret pelaku ke muka pengadilan. Keluarganya meminta supaya pihak PDRM melaporkan hasil perkembangan siasatan kepada pihak keluarga untuk memastikan ketelusan didalam siasatan.
Sementara itu, Zaid meminta agar satu pasukan siasatan bebas dilantik oleh PDRM bagi menjalankan siasatan secara serius, telus serta menyeluruh.
#Prezcom
Lebih Banyak Berita :