Kuala Lumpur, 08 Ogos 2024, 1.00 petang – Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan semalam memaklumkan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia diturunkan sebanyak 5 sen kepada RM3.30 seliter bermula hari ini sehingga 14 Ogos.

Kementerian tersebut seterusnya memberitahu langkah ini diambil berikutan penurunan harga minyak di pasaran dunia ketika ini. Walau bagaimana pun harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter.

Pada minggu lalu, seluruh dunia telah menyaksikan penurunan harga minyak dunia ekoran dari kebimbangan para pelabur terhadap kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang kian memuncak diikuti dengan penjualan pegangan pelabur petroleum.

Pada minggu lalu pula harga dagangan minyak jatuh terendah sejak Disember 2023 iaitu serendah AS$75 namun ianya naik semula pada hari berikutnya.

Dalam situasi yang sama MOF turut mengatakan harga runcit petrol RON97 dan RON95 dikekalkan pada paras RM3.47 serta RM2.05 seliter.

Kerajaan akan terus mengikuti perkembangan terkini kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kelancaran dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara tanpa sebarang masalah.

Untuk pengetahuan, harga diesel di Semenanjung diturunkan buat pertama kalinya selepas pelaksanaan penyasaran semula subsidi yang berkuat kuasa 10 Jun lalu.

#PrezCom

Lebih Banyak Berita Menarik:

MCMC Adakan Rundingan Awam, Bangun Garis Panduan Penyedia Perkhidmatan Internet, Media Sosial