Kuala Lumpur, 07 Ogos 2024, 11.00 malam – Menteri Ekonomi iaitu Rafizi Ramli berkata dalam satu sidang media sempena Sesi Town Hall Dasar Gaji Progresif pada hari semalam, bahawa kerajaan bersedia mempertimbang untuk melanjutkan tempoh masa pemberian insentif kepada majikan yang melaksanakan Dasar Gaji Progresif kepada 24 bulan berbanding 12 bulan yang ditetapkan pada masa kini. Namun keputusan mengenai lanjutan tempoh masa tersebut akan di nilai setelah memperolehi maklum balas daripada projek rintis yang telah dibuat bermula pada bulan Jun lalu.
Menurut Rafizi lagi, kerajaan akan mula membayar insentif kepada majikan yang layak dan mematuhi syarat pelaksanaan Dasar Gaji Progresif yang ditetapkan pada bulan Oktober ini. Disamping itu projek rintis ini juga dilihat akan memberi masa yang cukup dan lebih lama kepada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia bagi membuat penilaian dan penambahbaikan kepada lebih banyak industri dan syarikat.
Dengan pengalaman yang diperolehi didalam tempoh masa lebih kurang enam bulan ini, diharapkan pihak yang terlibat dapat merangka satu dasar gaji yang mampu mencapai pendapatan untuk pekerja sehingga empat puluh lima peratus menjelang tahun 2033 nanti.
Majikan yang terbabit dengan Dasar Gaji Progresif boleh menuntut insentif tunai daripada kerajaan sekiranya memenuhi syarat kelayakan dengan pekerja bergaji antara RM1,500 dan RM4,999. Majikan yang terpilih akan menerima insentif berjumlah maksimum RM200 sebulan bagi setiap pekerja peringkat permulaan dan maksimum RM300 sebulan bagi setiap pekerja bukan peringkat permulaan.
Untuk melonjakkan Malaysia ke status negara berpendapatan tinggi, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Gaji Progresif sebagai satu usaha untuk memastikan gaji rakyat tinggi dan selari dengan peningkatan produktiviti.
Kertas Putih cadangan Dasar Gaji Progresif dibentangkan di Parlimen pada 30 November lalu. Ia merupakan strategi kerajaan untuk meningkatkan gaji penengah pekerja di Malaysia. Sehingga 5 Ogos 2024, sebanyak 1,094 akaun dibuka dengan 443 permohonan dibuat menyertai Dasar Gaji Progresif dan 144 permohonan menepati syarat gaji.
Turut hadir didalam Sesi Town Hall Dasar Gaji Progresif tersebut adalah Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Norison Ramli.
#PrezCom
Lebih Banyak Berita :