Ekonomi

 

Kuala Lumpur, 30 JULAI 2024, 21:00 BERITA buruk sering kali menyebar dengan cepat di media sosial, tetapi berita baik jarang mendapat perhatian yang sewajarnya.

Salah satu berita baik yang patut mendapat perhatian adalah pencapaian ringgit yang terus menunjukkan prestasi yang cemerlang di rantau Asia berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Ringgit kini mencatatkan peningkatan secara konsisten dan nilai mata wang ini turut mengalami pengukuhan. Keberhasilan ini didorong oleh pelbagai faktor domestik dan global yang menyokong.

Secara ringkas, selepas menghadapi tempoh sukar, ringgit kini menunjukkan prestasi stabil dengan nilai dagangan di bawah RM4.70 berbanding dolar AS selama dua minggu. Ramalan menunjukkan bahawa ringgit berpotensi berada pada paras RM4.60 menjelang akhir tahun ini.

Malaysia telah mengambil langkah-langkah strategik untuk membina semula rizab luaran dengan usaha membawa pulang ringgit dan pertukaran mata wang asing.

Langkah rasionalisasi subsidi, walaupun tidak popular dari sudut politik dan tidak memberi manfaat segera, adalah keputusan yang wajar dalam konteks kerajaan Madani.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat keputusan berani dengan mengurangkan perbelanjaan kerajaan untuk subsidi. Ini adalah langkah penting kerana mengabaikannya akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara dalam jangka panjang.

Dengan pilihan raya umum yang masih tiga tahun lagi dan kerajaan yang stabil, waktu ini adalah yang terbaik untuk melaksanakan perubahan tersebut.

Putrajaya telah memperuntukkan RM64 bilion untuk subsidi pada tahun 2023, tetapi perbelanjaan sebenar mencapai RM81 bilion, iaitu 26 peratus lebih tinggi daripada anggaran awal, berikutan kenaikan harga bahan api akibat perang Ukraine-Rusia.

Anwar Ibrahim mengakui bahawa walaupun langkah ini rasional dari segi ekonomi, ia sukar dari segi politik.

Pada bulan Mei, Anwar menyatakan bahawa subsidi diesel bersasar dapat menjana penjimatan kira-kira RM4 bilion setahun yang bermula pada 10 Jun.

Ini menetapkan harga diesel pada RM3.35 seliter di Semenanjung Malaysia, manakala harga di Sabah, Sarawak, dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

Subsidi kini diagihkan melalui inisiatif BUDI MADANI dan kad fleet di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Walaupun topik ini mungkin tidak menarik perhatian ramai dalam ceramah politik, realiti bebanan hutang yang besar adalah legasi pentadbiran sebelumnya yang tidak ditangani dengan baik.

Majalah kewangan Forbes, dalam rencana bertarikh 10 Julai, melaporkan bahawa Anwar telah membuat keputusan ekonomi yang tepat. Pentadbiran Anwar bertanggungjawab dalam merasionalisasi subsidi dan menguruskan kos perkhidmatan awam.

“Usaha transformasi penjawat awam baharu kepada skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)-dijangka dapat mengurangkan kos pencen untuk jangka panjang, adalah satu langkah yang besar.

“Langkah ini bertujuan mengurangkan bebanan kewangan kerajaan dengan mengalihkan liabiliti pencen masa depan kepada model yang lebih mapan,” katanya.

Forbes juga melaporkan bahawa Malaysia kini mempercepatkan kelulusan pelaburan langsung asing (FDI) dan memudahkan cara menjalankan perniagaan, terutama dalam sektor bernilai tinggi seperti fabrikasi semikonduktor dan teknologi digital.

Selain itu, laporan Reuters pada 17 Mei lalu menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia berkembang lebih baik daripada jangkaan, disokong oleh perbelanjaan isi rumah dan eksport yang pulih.

Bloomberg juga melaporkan pada 19 April bahawa ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan paling pesat dalam setahun, menunjukkan pemulihan yang kukuh di negara ini.

Dalam laporan bertajuk ‘Malaysia’s Growth Accelerates, Signaling Recovery in 2024,’ media itu menyatakan data pertumbuhan menunjukkan ekonomi Malaysia kembali mendapat momentum selepas menyederhana pada tahun lepas susulan permintaan global yang suram.

“Negara yang bergantung kepada perdagangan itu juga dijangka meraih faedahnya jika China – rakan dagang terbesar Malaysia – terus membina permulaan kukuh yang di luar jangkaan.

Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar berkembang antara empat peratus dan lima peratus pada tahun ini berikutan permintaan luar yang meningkat.”

Kita berharap momentum positif ini akan berterusan dan menantikan butiran lebih lanjut dalam laporan ekonomi tahunan dan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

Pujian patut diberikan kepada kerajaan apabila tindakan yang diambil adalah wajar dan memberi manfaat kepada negara.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

LRT3 Dijangka Beroperasi Menjelang Suku Ketiga 2025 – Anthony