Nenggiri

 

Kuala Lumpur, 31 July 2024, 16:00

KEPIMPINAN tertinggi UMNO akan terus memantau prestasi calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, sekiranya beliau memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang akan diadakan pada 17 Ogos ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Timbalan Perdana Menteri, telah memberikan arahan khusus kepada Ketua Pemuda UMNO Kelantan untuk melawat setiap kawasan di Nenggiri dan memahami keperluan rakyat setempat.

“Saya berharap apabila pengundi di Nenggiri nanti memilih Awie (Mohd Azmawi Fikri) sebagai ADUN kita, sebagai wakil rakyat baru kita, saya akan memantau prestasi beliau.

“Selain itu, saya juga telah mengarahkan beliau untuk turun ke bawah setiap pelusuk pergi kampung, setiap kawasan KESEDAR (Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan), setiap kawasan Orang Asli, setiap kampung tradisi (dan) kawasan FELDA, untuk sama-sama menekuni keperluan rakyat. Jangan duduk di tempat yang berhawa dingin sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran Pelan Pembangunan, Pusat Pertumbuhan Desa Sungai Asap, KESEDAR, Gua Musang, di Gua Musang, hari ini.

Beliau menyatakan keyakinan bahawa Mohd Azmawi Fikri akan bekerja dengan penuh dedikasi untuk memenuhi kehendak rakyat Nenggiri.

“Sekiranya saya mendapat tahu beliau (Mohd Azmawi Fikri) tidak bekerja dengan kuat, maka sepenggal sahajalah beliau menjadi ADUN dan saya akan pastikan itu,” katanya dan akan memantau kesemua Pusat Daerah Mengundi untuk memastikan Mohd Azmawi itu mencapai kemenangan pada PRK DUN Nenggiri.

Pada 19 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, mengumumkan bahawa kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal pada 3 Ogos dan 13 Ogos, dengan 17 Ogos sebagai hari pengundian.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Bank Muamalat, PPTEM Bantu Usahawan Malaysia Melalui Program ‘SANDBOX: The Entrepreneur Kick Start 2024’