Sandbox

 

Kuala Lumpur, 31 July 2024, 12:00 –

Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) telah dipilih sebagai bank rasmi pertama untuk bekerjasama dengan Pertubuhan Pemerkasaan dan Transformasi Ekonomi Malaysia (PPTEM) dalam usaha pembangunan usahawan Muslim.

Kerjasama ini akan menyaksikan penyediaan sokongan dan perkhidmatan kewangan kepada usahawan di seluruh negara, termasuk dalam aspek perkongsian kolaboratif dan penawaran kemudahan perkhidmatan kewangan.

Melalui inisiatif ‘Sandbox: The Entrepreneur Kick Start 2024’ yang diperkenalkan oleh PPTEM, Bank Muamalat akan memainkan peranan penting sebagai mentor utama. Ini termasuk membantu usahawan tempatan untuk memastikan perniagaan mereka terus berkembang dan berdaya saing.

Peserta dalam program Sandbox akan menerima bantuan dengan pembukaan akaun syarikat bagi memudahkan operasi perniagaan harian.

Bagi mereka yang memenuhi syarat, Bank Muamalat juga menyediakan pelbagai kemudahan perbankan seperti pembiayaan perniagaan, iTEKAD, dan solusi pengurusan tunai.

Selain itu, Bank Muamalat dan PPTEM akan bekerjasama dalam menganjurkan sesi taklimat untuk menerangkan manfaat program keusahawanan Sandbox kepada usahawan dari pelbagai sektor secara berkala.

Hari ini, ‘Program Sembang Santai Usahawan’ khas untuk industri kreatif telah diadakan di ibu pejabat Bank Muamalat, Menara Bumiputra.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin, mengumumkan sasaran untuk melatih 30,000 usahawan Muslim sepanjang tahun ini. Beliau menegaskan bahawa Bank Muamalat berkomitmen penuh dalam menjayakan program ini dan mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Sebagai institusi perbankan Islam penuh, Bank Muamalat sentiasa komited dalam membantu para usahawan menerusi kolaborasi serta penawaran produk dan perkhidmatan yang terbaik sejajar dengan iltizam untuk membina Kehidupan Lebih Baik, Bersama.

“Selain industri kreatif, Bank Muamalat dan PPTEM akan menerokai keperluan untuk membantu perniagaan usahawan muslim di lain-lain industri, sekali gus bakal melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing pada masa akan datang,” katanya.

Khairul menambah, selaras dengan matlamat teras ketiga visi Malaysia Madani yang menekankan daya cipta dan inovasi, Bank Muamalat berusaha untuk menyokong usaha kerajaan dalam menyediakan persekitaran yang merangsang kreativiti serta penghasilan sistem, produk, dan proses yang lebih maju bagi usahawan.

Untuk maklumat lanjut mengenai kerjasama Bank Muamalat dan PPTEM dalam Program Keusahawanan Muslim Sandbox, sila layari laman sesawang Bank Muamalat di www.muamalat.com.my atau kunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat.

Pelanggan juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank Muamalat di 03-2600 5500 untuk maklumat lanjut.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Ambil Langkah Berani Demi Ekonomi Lebih Kukuh