Cuaca Panas

 

Kuala Lumpur, 30 July 2024, 12:00 –

Orang ramai dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti luar kerana Malaysia kini berada dalam musim Monsun Barat Daya sejak 17 Mei lalu. Musim ini menyebabkan cuaca menjadi lebih panas dan kering.

Dr. Zulfa Hanan Ash’aari, Pensyarah Kanan di Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia, memaklumkan bahawa suhu panas ini dijangka berterusan hingga pertengahan September.

Oleh itu, penting untuk mengambil langkah berjaga-jaga seperti memastikan pengambilan air yang mencukupi dan melindungi diri daripada terdedah kepada cuaca panas.

“Selain itu, jangan melakukan pembakaran terbuka atau membuang puntung rokok merata-rata bagi mengelakkan berlakunya pembakaran luas yang boleh menyebabkan jerebu,” katanya.

Dr. Zulfa Hanan menjelaskan bahawa angin semasa Monsun Barat Daya datang dari arah barat daya yang kurang lembap berbanding angin Monsun Timur Laut. Ini menyebabkan kelembapan udara yang sampai ke Malaysia lebih rendah pada musim ini.

Dr. Maggie Ooi Chel Gee, Felo Penyelidik Institut Perubahan Iklim Universiti Kebangsaan Malaysia, menyarankan agar orang ramai memakai pakaian yang sesuai dan menggunakan krim pelindung matahari untuk menghindari strok haba.

“Mereka disarankan agar sentiasa kekal terhidrat apabila melakukan aktiviti luar, jika perlu pakai topi dan guna payung yang tidak lut sinar untuk melindungi kulit daripada haba.

“Sekarang Malaysia dah masuk musim kering di bawah pengaruh Monsun Barat Daya dan kebiasaannya akan menerima taburan hujan yang rendah. Pada musim ini pihak kami sentiasa mendapat laporan berkaitan kebakaran di beberapa lokasi terutamanya di Asia Tenggara,” katanya.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) melaporkan bahawa enam kawasan telah merekodkan cuaca panas Tahap 1 atau berjaga-jaga. Kawasan tersebut termasuk Larut dan Matang di Perak; Kuala Muda di Kedah; Pasir Mas dan Kuala Krai di Kelantan; serta Bintulu dan Sri Aman di Sarawak.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Menara KL Tawar Diskaun Harga 60% Sempena Hari Kemerdekaan