Kuala Lumpur,27 July 2024, 16:00 – KADAR penurunan air di Taman Tasik Taiping hampir mencecah 70 peratus dengan luas badan air sekitar 289,756.4 meter persegi, menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir.
Dalam kenyataannya, Khairul Amir menjelaskan bahawa paras air sungai yang menjadi salah satu sumber utama air di taman tersebut turut menunjukkan penurunan. Situasi ini telah mempengaruhi tahap air dalam tasik dan kolam di kawasan itu.
“Kejadian air surut yang sedang berlaku sehingga menampakkan dasar tasik atau kolam adalah disebabkan cuaca panas berpanjangan dan taburan hujan yang rendah.
“Sehubungan itu, bagi kejadian air surut sehingga menampakkan dasar tasik atau kolam sememangnya bergantung kepada kekerapan hujan dan berharap cuaca panas ini tidak berpanjangan,” katanya.
Beberapa hari kebelakangan ini, gambar-gambar yang dikongsi oleh netizen di media sosial menunjukkan tasik dan kolam di Taman Tasik Taiping, yang berusia 133 tahun, mengalami penyusutan air akibat cuaca panas yang berpanjangan sejak dua bulan lalu.
Khairul Amir juga menyatakan bahawa Taman Tasik Taiping dahulunya adalah tapak bekas perlombongan bijih timah dan mempunyai beberapa kolam termasuk Allamanda Pond, 7 Sisters Pond, dan banyak lagi.
“Kesemua kolam ini juga berfungsi sebagai kolam takungan dan ia digunakan untuk menahan air bagi beberapa jam supaya saliran perparitan dan sungai sempat mengalirkan air larian ke lautan seterusnya dapat mengelakkan kejadian banjir kilat di Bandar Taiping khususnya.
“Air yang mengalir masuk ke dalam tasik atau kolam itu sebahagiannya adalah daripada Sungai Buloh sebanyak 15 peratus, manakala selebihnya bergantung kepada air hujan iaitu 85 peratus.
Beliau menambah bahawa air di Taman Tasik Taiping tidak digunakan untuk tujuan domestik atau pengairan pertanian.
“Sehubungan itu, ia dibiarkan pulih secara semula jadi dan kembali kepada keadaan asal mengikut keadaan cuaca semasa dan diharapkan musim kemarau ini tidak berlarutan,” katanya.
Kredit – BERNAMA
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>