Bekalan Air

 

Kuala Lumpur, 26 JULAI 2024, 21:00 SURUHANJAYA Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah mengumumkan penubuhan satu Jawatankuasa Khas untuk menangani masalah gangguan perkhidmatan air akibat pencemaran, khususnya di Selangor.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada hari Jumaat, Jawatankuasa Khas ini akan mengumpul maklumat, keterangan, dan menyelidiki semua aspek berkaitan insiden gangguan perkhidmatan air yang berpunca daripada pencemaran.

“(Jawatankuasa Khas) seterusnya mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan yang boleh dijadikan tata amalan terbaik oleh semua pihak yang berkepentingan demi menjamin kelestarian bekalan air,” menurut kenyataan itu.

SPAN juga memaklumkan bahawa pelbagai pihak dan agensi kerajaan akan terlibat dalam proses pengumpulan data, termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), badan pengurusan sumber air mentah negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, serta operator perkhidmatan air di negeri-negeri berkaitan.

“Jawatankuasa ini akan ditubuhkan dalam kadar segera dan dijangka selesai dalam tempoh 45 hari dari sesi pertama berlangsung,” katanya.

SPAN menyatakan keprihatinan serius terhadap insiden pencemaran bau di Sungai Sembah dan Sungai Kundang yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual kepada lebih sejuta pengguna di tujuh kawasan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak 23 Julai lalu.

Berikutan insiden tersebut, SPAN telah membuka kertas siasatan pada 24 Julai terhadap suspek yang telah dikenal pasti.

Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 121(1)(c) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) bagi kesalahan mencemarkan sistem bekalan air, yang jika disabitkan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM500,000.

SPAN menegaskan komitmen mereka untuk mengambil tindakan tegas terhadap sebarang perbuatan salah laku berkaitan air bersih dan sumbernya, serta memastikan hukuman setimpal dikenakan ke atas pelaku dengan secepat mungkin.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Lans Koperal Alif Monjani Didakwa Bunuh Nur Farah