Nur Farah

 

Kuala Lumpur,25 July 2024, 16:00 SEORANG anggota polis dari Balai Slim River, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bharu hari ini atas tuduhan membunuh Nur Farah Kartini Abdullah, 25 tahun.

Muhammad Alif, 26 tahun, didakwa membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu di ladang kelapa sawit SKC Keledang, Mukim Hulu Bernam, antara jam 9 pagi 10 Julai hingga jam 6 petang 15 Julai lalu.

Tuduhan tersebut dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan sekurang-kurangnya 12 sebatan jika didapati bersalah.

Ketika pertuduhan dibacakan, Muhammad Alif mengangguk faham namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen yang bertindak sebagai Majistret, Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Harun dan Muhammad Azri Zakaria mengendalikan prosiding pendakwaan, manakala peguam Aida Zainuddin dan Aida Md Jaafar mewakili tertuduh.

Ku Hayati memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes seterusnya untuk menyerahkan laporan DNA dan telekomunikasi.

“Saya mohon tarikh sebutan seterusnya bagi menyerahkan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan telekomunikasi,” katanya pada prosiding yang dipenuhi ahli keluarga tertuduh dan mangsa serta media.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Ogos depan sebagai tarikh sebutan kes, menunggu penyerahan laporan forensik tersebut.

Sebelum prosiding bermula, seorang anggota polis mengingatkan keluarga Muhammad Alif dan Nur Farah Kartini untuk mengawal emosi semasa prosiding berlangsung.

Ketika dibawa keluar dari mahkamah, seorang anggota keluarga tertuduh dilihat memberi semangat dengan mengangkat tangan kepada Muhammad Alif.

Keluarga tertuduh yang ditemui di perkarangan mahkamah berkata mereka dinasihatkan oleh peguam untuk tidak memberi sebarang komen.

Sementara itu, wakil keluarga mangsa menyatakan mereka bersyukur dengan perkembangan kes dan berpuas hati dengan siasatan yang dilakukan oleh polis.

Suspek tiba di pekarangan kompleks mahkamah pada jam 9.04 pagi dengan tangan bergari dan berpakaian baju T serta seluar hitam, sambil dikawal rapi oleh anggota polis.

Lebih 30 pengamal media turut berada di mahkamah seawal jam 7 pagi untuk membuat liputan pendakwaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, sebelum ini mengesahkan bahawa suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, dan siasatan kes ini telah selesai. Perselisihan perhubungan dipercayai menjadi punca pembunuhan Nur Farah Kartini.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang pada 10 Julai sebelum mayatnya ditemui di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam kira-kira jam 6 petang lima hari kemudian. Penemuan mayat itu adalah hasil soal siasat ke atas suspek yang juga dikenali oleh mangsa.

Suspek direman selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 Julai lalu sebelum tempoh reman disambung tujuh hari lagi hingga 29 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis Perak mengesahkan suspek yang bertugas di Balai Polis Slim River, Tanjung Malim, sudah lima tahun berkhidmat dan berasal dari Melaka serta sudah berumah tangga.

Dalam siasatan, pasukan polis telah melakukan pelbagai operasi mencari dan mengesan bahan bukti di sekitar daerah Hulu Selangor, Muallim, dan Slim River.

Pasukan forensik, termasuk unit skuba, turut terlibat dalam pencarian dan menemui telefon bimbit dalam parit serta kunci kereta dan dompet dalam Sungai Trolak.

Kredit – BHarian

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

KPM, KPT Rancang Bina Kolej Tingkatan 6 Premium Tahun Depan