Kuala Lumpur, 26 July 2024, 12:00 – KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini merancang beberapa inisiatif khusus untuk pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Salah satu perancangan tersebut termasuk pembinaan Kolej Tingkatan Enam Premium yang dijangka dilaksanakan pada tahun hadapan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyatakan bahawa inisiatif ini bertujuan untuk memberi perhatian khusus kepada pelajar STPM dalam aspek peranan, pencapaian, dan sumbangan mereka dalam pelbagai bidang.
“Dalam konteks kerjasama silang kementerian khususnya KPT itu diharap, meningkatkan kualiti pendidikan Tingkatan Enam khususnya Kolej Tingkatan Enam Premium, yang akan kita laksanakan pada tahun hadapan.
“Mudah-mudahan kerjasama ini kita akan dapat memberi lebih tumpuan dalam meningkatkan kualiti pendidikan Tingkatan Enam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Peringkat Kebangsaan STPM dan Malaysian University English Test (MUET) Tahun 2023 yang diadakan di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia di Batu Caves pada hari Selasa.
Fadhlina turut menyatakan bahawa pengumuman lanjut mengenai inisiatif ini akan dibuat selepas proses penyelarasan selesai.
“Buat masa ini, kita dalam proses penyelarasan di peringkat KPT dan kita harap program ini dapat dilaksanakan untuk pengambilan STPM pada tahun hadapan.
“Insya-ALLAH kita akan perhalusi dan kita akan umumkan apabila semua peringkat penyelarasan selesai,” ujarnya.
Selain itu, KPM juga sedang meneliti penambahbaikan lain termasuk pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan Enam.
“Kita telah maklumkan itu adalah antara usaha kita untuk menjaga kebajikan mereka.
“Usaha ini akan diteruskan termasuk mengangkat idea atau cadangan ini ke peringkat Belanjawan pada tahun ini,” jelasnya.
Kredit – SHarian
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>