Jalur Gemilang

 

Kuala Lumpur,23 July 2024, 16:00 PADA masa lalu, rakyat negara ini telah menunjukkan pengorbanan yang besar untuk mencapai kemerdekaan. Golongan wanita, contohnya, sanggup melepaskan barang kemas mereka untuk membiayai perjalanan pemimpin negara ke London bagi rundingan kemerdekaan pada tahun 50-an.

Menjelang bulan kebangsaan tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan berharap agar semua lapisan masyarakat, baik dari sektor awam mahupun swasta, turut bersama-sama merayakan semangat Merdeka dengan mengibarkan bendera Malaysia, Jalur Gemilang.

Mengikut tema tahun ini, Malaysia Madani – Jiwa Merdeka, Perdana Menteri menyatakan bahawa kibaran Jalur Gemilang melambangkan identiti dan kebanggaan setiap rakyat Malaysia terhadap negara ini.

“Mulai hari ini, komuniti Madani, setiap jabatan, setiap rakyat, kedai dan warung, kaya dan miskin, kota dan desa, kita pastikan tunjuk kamu itu bersama jiwa Merdeka, hebatkan Malaysia. Dan saya percaya kita bagi mesej dengan jelas.

“Apa yang sukarnya? Orang dulu korban segala-galanya, (termasuk) golongan ibu di kampung, keluarkan rantai dan perhiasan mereka, jadi tabung untuk perjuangan. Dan pada 1955, tabung untuk penerbangan pemimpin ke London, dan pulang. Kerana kos terlalu tinggi… itu pengorbanan mereka.

“Saya minta kibarkan Jalur Gemilang, boleh? Kita kena pastikan, dan kalau orang yang enggan, kirim salam kepada mereka. Ini bukan isu kaum, bukan isu parti, bukan isu kedudukan, atau pekerjaan. Ini soal jati diri, soal maruah, soal harga diri,” katanya lagi.

Perdana Menteri menyampaikan kata-kata tersebut semasa Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di Cyberjaya pada hari Ahad.

Beliau juga menyeru agar sektor swasta turut serta dalam pengibaran Jalur Gemilang, kerana ada di kalangan mereka yang menganggap perkara ini tidak penting.

“Kerana seringkali sektor swasta ini sumbangan besar, tak boleh kita perkecilkan, tetapi kadang-kadang mereka anggap hal ini agak remeh. Kerja mereka berniaga, dan catat keuntungan. Saya nak bagi tahu mereka, kalau negeri tak aman, meniaga tak untung.

“Kalau tak ada pengorbanan polis, tentera, pasukan keselamatan di perbatasan, tidak ada pelaburan baharu. Jadi tunjukkan dukungan kamu, termasuk swasta, dan kedai swasta, bersama dengan rakyat dan negara kibarkan Jalur Gemilang. Tak mahu ada sikap tolak ansur.

“Harap mesej ini sampai kepada mereka, akan disiarkan berulangan di televisyen dan media sosial. Kerana dalam hal ini kita perlu bersatu.

“Saya tak mahu guna platform untuk singgung apa-apa yang berbeda pendapat, tapi perlu ada satu pendirian, satu sikap, dan satu matlamat untuk angkat martabat negara Malaysia, menjadi negara gemilang di rantau ini,” katanya lagi.

Kredit – AstroAwani

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Jangan Keluarkan Komen Tidak Benar Atau Spekulasi – IGP