Spekulasi

 

Kuala Lumpur, 23July 2024, 12:00 – PIHAK polis telah memberikan amaran keras bahawa mereka akan mengambil tindakan tegas terhadap individu, khususnya pengguna media sosial, yang terlibat dalam spekulasi atau komen berlebihan yang boleh mengancam keselamatan orang lain.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menegaskan bahawa tindakan membuat hantaran atau spekulasi mengenai isu tertentu sehingga menyebabkan fitnah, ugutan, atau buli siber adalah kesalahan jenayah walaupun dilakukan di alam siber.

Beliau menjelaskan bahawa individu yang terlibat dalam tindakan sebegini boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) untuk ugutan, Seksyen 500 KK untuk fitnah, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM).

Beliau turut menekankan bahawa pihak polis serius dalam menangani penggunaan media sosial yang melampau yang boleh membawa kepada fitnah terhadap pihak lain.

“Jangan menyebarkan sesuatu perkara yang tidak pasti kesahihannya sehingga boleh menimbul fitnah, yang polis boleh bertindak menyiasat jika menerima laporan dan dituduh di mahkamah…Beri ruang dan serahkan kepada kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan dalam sesuatu kes,” katanya.

Razarudin berkata pihaknya memandang serius mengenai penggunaan media sosial secara melampau hingga menimbulkan fitnah terhadap pihak lain.

Contoh semasa adalah pelbagai spekulasi yang timbul di media sosial yang menghina atau mencaci mangsa dan suspek dalam kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah. Perbuatan ini bukan sahaja mengganggu emosi tetapi juga memberi tekanan kepada keluarga mangsa.

Razarudin berkata perbuatan tersebut secara tidak langsung boleh mengganggu emosi dan memberi tekanan kepada waris keluarga.

“Inilah buli siber. Isu ini serius…Kita tidak mahu berlakunya kejadian buli siber sehingga menyebabkan kematian seperti yang menimpa pempengaruh TikTok baru-baru ini,” katanya.

Razarudin berkata individu yang merasakan dibuli di media sosial, diminta tampil melaporkan kepada pihak berkuasa.

PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Komunikasi dalam usaha untuk memerangi buli siber. Satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk meneliti aspek perundangan yang akan dicadangkan pada masa akan datang.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Kerajaan Junjung Titah Agong Utamakan Kos Sara Hidup Rakyat – Fahmi