Rakyat

 

Kuala Lumpur, 22 JULAI 2024, 21:00 MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan bahawa kerajaan akan terus melaksanakan dasar-dasar yang mampu mengangkat martabat rakyat, termasuk menyelesaikan isu berkaitan kos sara hidup.

Langkah ini diambil selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menyeru agar kerajaan berusaha meringankan beban hidup rakyat.

“Kami sangat menghargai titah Tuanku, terutamanya apabila Tuanku memberi tumpuan kepada kos sara hidup. Ini sudah pasti dekat di hati Tuanku dan kerajaan akan menjadikan perkara ini sebagai keutamaan,” kata Fahmi kepada pemberita selepas selesai Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara.

Dalam titahnya, Sultan Ibrahim menzahirkan harapan agar kerajaan terus berusaha meringankan beban hidup rakyat serta membangunkan negara dengan lebih maju dan makmur.

Fahmi, yang juga Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim, berkata detik bersejarah serta cukup bermakna kepada negara dan rakyat itu berlangsung dengan jayanya.

Beliau berkata istiadat pertabalan itu menonjolkan peranan penting institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai turus negara dan memayungi rakyat jelata sekali gus membolehkan suasana kondusif untuk kerajaan mengusahakan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya juga lihat sambutan rakyat pada istiadat hari ini di media sosial cukup baik, ramai menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda, letakkan komen Daulat Tuanku, ini trend positif dan (menunjukkan) penerimaan rakyat atas perjalanan pertabalan (Sultan Ibrahim) yang cukup baik.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17. Setakat ini, tiga program sempena istiadat tersebut telah berlangsung dengan jayanya, termasuk Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Masjid Negara, serta solat Jumaat dan Khutbah Jumaat Khas yang disempurnakan oleh Sultan Ibrahim.

“Tiga selesai, empat lagi menyusul (Majlis Santapan Diraja, Lawatan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke Hospital Orang Asli Gombak, Pameran Raja Kita dan Majlis Jamuan Teh Diraja), kita akan pastikan semuanya baik dan lancar,” katanya.

Kerajaan komited untuk terus mengangkat martabat rakyat dan berusaha menangani kos sara hidup demi kesejahteraan semua.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Jualan Ehsan Rahmah Sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan Tawar Pelbagai Barangan Basah