Malakat Mall

 

Kuala Lumpur, 21 July 2024, 12:00 – PREMIS fizikal Malakat Mall Cyberjaya akan ditutup pada 31 Julai ini bagi memberi ruang kepada pasar mesra Muslim ini meneroka model perniagaan baharu dengan skala operasi yang lebih kecil.

Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim, menyatakan bahawa sejak pembukaan pada 13 Mac 2020, Malakat Mall telah menghadapi cabaran besar termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19, hanya selepas lima hari beroperasi.

Dalam tempoh empat tahun beroperasi, terutamanya selepas endemik, pelbagai cabaran telah dihadapi. Untuk terus maju, perniagaan makanan & minuman (F&B) akan dipindahkan ke dalam bangunan Casa DeMadani yang akan diubahsuai menjadi Restoran ‘RumahMakan’.

Restoran ini akan menawarkan suasana yang lebih selesa untuk warga Cyberjaya dan sekitarnya menikmati hidangan istimewa tempatan dan antarabangsa.

Unit peruncitan pula akan beralih sepenuhnya kepada perniagaan dalam talian melalui laman web www.malakat.com.

Barangan seperti busana, aksesori, alat tulis, buku, dan perhiasan akan dijual secara dalam talian. Sementara itu, kedai Malakat Grocer akan terus beroperasi di Taman Kosas, Ampang.

Sempena penutupan premis fizikal Malakat Mall Cyberjaya, pihak pengurusan mengumumkan Penjualan Penutupan Malakat Mall dengan diskaun sehingga 70 peratus bermula hari Sabtu ini hingga 31 Julai 2024. Pengumuman ini dibuat melalui kenyataan di laman sosial Malakat Mall.

Mohd Fadzil turut menjelaskan kepada anggota-anggota Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) bahawa Malakat Mall komited untuk menghadapi cabaran.

Mereka akan berusaha membantu KoPPIM membeli semula saham ahli-ahli yang ingin menjual syer mereka, walaupun proses ini memerlukan masa.

KoPPIM akan terus kekal sebagai Koperasi Strategik yang mempunyai potensi besar untuk menjadi pembina ekonomi ummah jika kekuatannya digembleng dengan betul. Imej pasar mesra Muslim dan mesra usahawan akan terus dipelihara dan diteruskan dalam bentuk yang bersesuaian.

Mohd Fadzil menambah, usaha akan difokuskan kepada sistem perniagaan dalam talian dengan harapan usaha ini akan berjaya di masa hadapan. Beliau memohon doa dan sokongan berterusan agar perjuangan ini mencapai kejayaan.

Kredit – BHarian

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Gangguan IT Global Beri Kesan Besar Terhadap Malaysia, NACSA Pantau Impak