IT

 

Kuala Lumpur,20 July 2024, 16:00 AGENSI Keselamatan Siber Negara (NACSA) sedang memantau dengan teliti dan bekerjasama erat dengan semua pihak berkepentingan untuk mengurangkan kesan dan memulihkan operasi sektor yang terjejas secepat mungkin akibat gangguan sistem teknologi maklumat (IT) global.

Dalam satu kenyataan hari ini, NACSA menyatakan gangguan ini telah menjejaskan pengguna Microsoft di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Gangguan tersebut memberi impak besar kepada pelbagai sektor kritikal seperti saluran televisyen, lapangan terbang, dan bank.

“Di Malaysia, kita telah mengesan gangguan operasi dalam beberapa sektor utama. Sebagai contoh, operasi di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terjejas, menyebabkan daftar masuk secara manual dan masa menunggu yang panjang.

“Bank turut mengalami gangguan sistem yang menjejaskan transaksi dan perkhidmatan pelanggan. Kami ingin menegaskan bahawa ini bukan serangan siber, tetapi isu keselamatan siber yang penting,” jelas kenyataan tersebut.

NACSA menyatakan bahawa kesan gangguan IT ini terhadap Malaysia adalah besar kerana ia menyebabkan kelewatan dan cabaran operasi merentasi pelbagai sektor yang menjejaskan perniagaan dan orang awam.

Bagi menangani situasi ini, NACSA mengesyorkan agar semua pihak terlibat sentiasa berwaspada dan memantau secara berterusan pengumuman, penyelesaian, dan kemas kini daripada vendor. Mereka juga dinasihatkan untuk memantau dan menguruskan sebarang penyelesaian sementara bagi mengurangkan risiko baharu yang mungkin timbul.

“NACSA komited untuk memastikan keselamatan dan daya tahan infrastruktur siber negara. Kami akan terus memberikan sokongan dan bimbingan kepada organisasi terjejas pada masa yang mencabar ini.

“Kami sedang dalam proses mengumpul statistik lebih terperinci dan akan memberikan kemas kini selanjutnya apabila ia tersedia,” tambah kenyataan itu lagi.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

SC Kemas Kini Peraturan Pelaburan Untuk Mempengaruh Kewangan