Suruhanjaya Sekuriti

 

Kuala Lumpur, 20 July 2024, 12:00 – AKTIVITI mempromosikan produk pasaran modal melalui platform media sosial mungkin memerlukan lesen dari Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam keadaan tertentu.

Ini dinyatakan dalam Nota Panduan Penyediaan Nasihat Pelaburan yang telah dikemaskini oleh SC.

Sebagai contoh, perkongsian analisis kewangan atau cadangan dalam mempromosikan produk pasaran modal tertentu kepada pengikut dengan harapan mendapatkan komisen atau ganjaran lain memerlukan lesen, kata SC dalam satu kenyataan hari ini.

Pengawal selia tersebut telah mengemas kini nota panduan di laman web mereka, yang boleh diakses di https://www.sc.com.my/regulation/guidance-notes-and-guiding-principles. Maklumat grafik berkaitan juga boleh didapati di https://www.sc.com.my/investor-empowerment/info-on-finfluencer.

Langkah ini diambil untuk menangani peningkatan populariti pempengaruh kewangan (finfluencer) yang mempromosikan produk dan perkhidmatan pasaran modal di media sosial, serta meningkatkan kesedaran awam mengenai perkara ini.

Pempengaruh kewangan perlu sedar bahawa penglibatan dalam aktiviti terkawal tanpa lesen adalah satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun, atau kedua-duanya sekali.

SC juga menyarankan agar pempengaruh kewangan memastikan bahawa syarikat yang mereka promosi dilesenkan atau diluluskan oleh SC dengan menggunakan portal Semak Sebelum Labur.

Sebagai sebahagian dari tugas pengawal selia, SC akan terus memantau pasaran modal secara aktif dan menangani sebarang perkembangan serta trend dengan mengeluarkan panduan kepada orang ramai.

Tindakan akan diambil jika perlu untuk memastikan pasaran yang adil dan teratur.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Harimau Malaya Naik Satu Anak Tangga