Kuala Lumpur,21 July 2024, 16:00 – PERDANA Menteri Belanda, Dick Schoof, menekankan pentingnya kerjasama antarabangsa dalam usaha memperjuangkan keadilan bagi 298 mangsa yang terkorban dalam tragedi MH17 Malaysia Airlines, 10 tahun lalu.
“Adalah penting bagi negara-negara yang terlibat untuk bersatu padu. Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) telah ditangguhkan, namun jika terdapat maklumat baru, mereka dapat segera memulakan tugas semula. Oleh itu, kerjasama antarabangsa adalah sangat penting,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri upacara memperingati ulang tahun ke-10 tragedi MH17 di Monumen Nasional MH17 di Taman Vijfhuizen berhampiran Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam.
Apabila ditanya mengenai pesanan beliau kepada mangsa dan keluarga mereka, Schoof berkata, “Mereka tidak akan berputus asa dan akan terus berusaha… namun tiada sebarang jaminan.”
Schoof juga menyatakan bahawa kesan tragedi MH17 masih sangat dirasai di Belanda meskipun sudah sedekad berlalu.
Lebih 1,500 ahli keluarga dan rakan mangsa dari seluruh dunia berkumpul di monumen tersebut untuk memberikan penghormatan kepada mereka yang terkorban. Upacara tersebut turut dihadiri oleh Raja Belanda, Willem-Alexander.
Keluarga mangsa kelihatan sedih ketika membaca nama kesemua mangsa termasuk anak kapal MH17 yang maut selepas pesawat tersebut ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.
Senarai nama kru pesawat dibacakan oleh Scot Choo, anak lelaki juruterbang MH17 Kapten Eugene Choo yang turut terkorban dalam nahas tersebut. Dengan nada sebak, Scot Choo mengucapkan, “Terima kasih atas khidmat anda kepada negara. Kami akan terus merindui kamu.”
Kebanyakan penumpang adalah warga Belanda selain daripada 17 negara lain termasuk Australia, Britain, Malaysia, dan Indonesia. Pesawat Boeing 777 tersebut ditembak jatuh sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol, mengorbankan kesemua 283 penumpang serta 15 anak kapalnya.
Pada 17 November 2022, Mahkamah Daerah Hague menjatuhi hukuman penjara seumur hidup secara ‘absentia’ kepada dua bekas ejen perisik Rusia, Igor Girkin dan Sergei Dubinskiy, serta pemimpin pemisah Ukraine, Leonid Kharchenko, selepas didapati bersalah menyebabkan nahas MH17 dan membunuh kesemua 298 orang di dalamnya.
Seorang lagi warga Rusia, Oleg Pulatov, dibebaskan daripada tuduhan tersebut.
Kredit – BERNAMA
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>