Kuala Lumpur, 19 July 2024, 12:20 – LEMBAGA Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) terus memperkasa usahawan kontraktor binaan Bumiputera gred G1 hingga G4 melalui program ‘Accelerator Program for Construction Entrepreneur 2.0 (ACE 2.0).
ACE adalah merupakan inisiatif Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan Malaysia dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah bermula pada 18 Julai 2022 dan telah berjaya melatih seramai 300 orang peserta.
Rentetan dari kejayaan ACE 1.0 sebelum ini ACE 2.0 terus dijayakan supaya dapat membantu lebih ramai lagi usahawan kontraktor binaan Bumiputera. Majlis Penghargaan ACE telah diadakan semalam bertempat di Concorde Hotel, Kuala Lumpur pada 18 Julai 2024 (Khamis) pada pukul 11.00pagi – 2.00 petang.
Seramai 60 orang jemputan telah bersama-sama menghadiri majlis ini yang terdiri daripada 10 orang wakil dari CIDB Malaysia, 10 orang wakil dari CIDB Holding Sdn Bhd, 15 orang wakil dari Akademi Binaan Malaysia (ABM), 20 orang tenaga pengajar ACE dan 5 orang jemputan luar yang juga terlibat menjayakan program ACE 1.0 sebelum ini.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan nyanyian lagu Negaraku dan teks ucapan penghargaan telah disampaikan oleh En. Rozaiman bin Hj.Hassan, Pengurus Besar Kanan, Sektor Pembangunan Kontraktor dan Personal Binaan CIDB Malaysia.
Antara yang menarik pada majlis semalam adalah hasil dapatan program ACE 1.0 yang lalu yang telah dibentangkan oleh En. Muhammad Saiful Ahdat bin Muhamad Fetri yang menunjukkan seramai 300 orang peserta yang terdiri daripada 270 Kontraktor G1-G4 dan 30 Graduan TVET Pembinaan telah dilatih dan dari jumlah ini seramai 190 orang adalah kontraktor ACE G1, 61 orang G2, 28 orang G3 dan 21 orang gred G4.
Saiful Ahdat juga memberitahu bahawa pada program ACE 2.0 kali ini penyertaan dibuka kepada dua kategori iaitu Kategori 1 untuk penyertaan kontraktor G1-G4 yang memperuntukkan 64 kekosongan dan Kategori 2 bagi graduan TVET Pembinaan yang memperuntukkan 24 kekosongan.
Maklumat lanjut mengenai program ACE 2.0 boleh didapat di laman sesawang www.aceprogramme.my atau menghubungi ‘Hotline WhatsApp’ di talian +6019-615 3073
Pada majlis semalam juga Ts. Megat Zainurul Anuar bin Megat Johari salah seorang tenaga pengajar ACE telah ditemuramah bagi mendapatkan maklumbalas mengenai program ACE 1.0 yang lalu dan beliau telah memberitahu bahawa ACE adalah program yang sangat terbaik yang bukan sahaja mampu melahirkan usahawan binaan yang berketerampilan dan berpengetahuan malah boleh terus mengupaya belia-belia kontraktor binaan untuk bersaing dengan baik kerana pada program ini usahawan-usahawan binaan ini bukan sahaja dilatih dan diperkasa dengan ilmu teknikal binaan malah dengan ilmu keusahawan dan pengusaan teknologi terkini.
Beliau menambah, program ACE yang berdurasi 2.5 bulan ini telah distruktur dengan sangat baik kerana mereka bukan sahaja dilatih tetapi juga berpeluang untuk menyertai tawaran kerja Perolehan Kerajaan (Kementerian / Agensi Pelaksana) secara lantikan terus atau sebutharga dan dipantau sehingga projek siap.
Program ACE 2.0 juga menawarkan 4 manafaat utama yang lain iaitu peserta diberikan elaun sebanyak RM50 sehari, penambahan kod bidang Sijil Pengurusan Kontraktor (SKP CIDB), persijilan Kompetensi Kemahiran (SKKP CIDB) dan kemudahan penginapan serta makan dan minum sepanjang tempoh program.
Sesi Perasmian ACE 2.0 juga turut dimeriahkan lagi dengan sesi penyerahan sijil penghargaan kepada tenaga-tenaga pengajar yang telah menjayakan program ACE 1.0.
Majlis penyerahan sijil telah disampaikan oleh En. Rozaiman Hj Hassan, diiringi oleh En. Supian Musa selaku Ketua Eksekutif CIDB Holdings dan Ts. Rohana binti Abdul Manan selaku Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Kontraktor CIDB Malaysia.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>