RUU 355

 

Kuala Lumpur, 16 July 2024, 12:00 – PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Majlis Raja-Raja meminta supaya pindaan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) dilakukan dengan teliti dan berhati-hati.

Dalam ucapannya semasa merasmikan Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia, Anwar berkata bahawa beliau telah bertemu dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang juga merupakan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) minggu lalu untuk membincangkan RUU 355.

Menurut Anwar, tiada bantahan atau masalah besar yang dikenalpasti setakat ini dari pihak ketua hakim negara yang menyokong usaha ini, mahupun dari Majlis Raja-Raja yang telah diberi taklimat awal mengenai pindaan tersebut.

Namun, Majlis Raja-Raja meminta agar pindaan ini diteliti secara mendalam supaya tidak kelihatan tergesa-gesa dan memastikan tiada kelemahan ketara dalam pelaksanaannya.

Anwar juga memaklumkan bahawa kerajaan akan membentangkan hasil libat urus mengenai RUU 355 kepada MKI pada bulan depan.

Walau bagaimanapun, keputusan muktamad tidak dapat dicapai dengan segera kerana beliau berpendapat bahawa isu ini perlu dibawa ke peringkat antarabangsa sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan seterusnya kepada Majlis Raja-Raja.

Hal ini penting memandangkan isu Islam, adat, dan kewarganegaraan memerlukan kelulusan Majlis Raja-Raja.

Beliau menambah bahawa pindaan terhadap RUU 355 perlu dilakukan dengan penuh teliti dan melibatkan pandangan dari semua pihak, termasuk Mahkamah Syariah, Mahkamah Sivil, dan pakar undang-undang antarabangsa.

Langkah ini diambil bukan untuk melengahkan proses, tetapi untuk memastikan bahawa pindaan tersebut benar-benar berkesan dan tidak dipertikai.

Anwar juga telah mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, serta Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) untuk menyelaras perkara ini dan mendapatkan pandangan daripada pakar perundangan Islam antarabangsa.

Beliau mengarahkan agar semua pandangan dikumpulkan dan dipertimbangkan sebelum dibentangkan kepada MKI.

Dalam pada itu, Anwar juga menyatakan bahawa beliau telah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (bekas Pengerusi MKI), untuk membincangkan pindaan tersebut sebelum ini.

Kedua-dua Sultan Nazrin dan Sultan Sharafuddin bersetuju dengan kerangka awal yang dibentangkan, namun menekankan perlunya penelitian lanjut.

RUU 355 bertujuan untuk memperluas bidang kuasa Mahkamah Syariah dari hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau/dan sebat enam kali kepada kuasa yang lebih luas menurut syariah, kecuali hukuman bunuh.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Pembentangan Belanjawan 2025 Dijangka Pada 18 Oktober