Bunuh

 

Kuala Lumpur, 16 JULAI 2024, 21:00 MAHKAMAH Persekutuan baru-baru ini memutuskan untuk menggantikan hukuman mati kepada tiga banduan dengan hukuman penjara 38 tahun berikutan pembunuhan pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Bakarudin Busu, dalam kejadian tragis yang berlaku 22 tahun lalu.

Ketiga-tiga banduan tersebut adalah Azizul Azual Jailani, 40, seorang bekas eksekutif jualan, Sulkarnain Alias, 46, dan Noorman Ab. Wahab, 45, yang merupakan bekas pemandu forklif.

Pada 2 April, panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Zabariah Mohd. Yusof membuat keputusan sebulat suara untuk membenarkan semakan mereka dan menggantikan hukuman mati dengan hukuman penjara, setelah mendengar permohonan mereka.

Dua hakim lain yang turut serta dalam prosiding tersebut adalah Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil. Selain itu, mahkamah memerintahkan ketiga-tiga banduan tersebut dikenakan sebatan sebanyak 12 kali.

Hukuman penjara bagi Azizul Azual berkuat kuasa mulai tarikh tangkap pada 17 Februari 2002, manakala hukuman bagi Sulkarnain dan Noorman bermula pada 16 Februari 2002.

Pada tahun 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menjatuhkan hukuman mati ke atas ketiga-tiga mereka setelah mereka didapati bersalah dalam kes pembunuhan Bakarudin, yang berusia 35 tahun pada ketika kejadian. Kejadian tersebut berlaku di Jalan SS19/6, Subang Jaya pada pukul 9.30 malam 12 Februari 2002.

Mayat Bakarudin yang ditemukan dalam keadaan separuh rentung dalam longkang di Subang Jaya menunjukkan bukti bahawa mangsa telah ditendang, ditumbuk, dan ditetak sehingga mati sebelum mayatnya dibakar.

Bukti-bukti menunjukkan bahawa mangsa mengalami 13 kecederaan, termasuk luka tetakan di kepala yang merosakkan otaknya.

Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling, membantah permohonan ketiga-tiga banduan untuk mengetepikan hukuman mati dengan alasan bahawa pembunuhan Bakarudin dilakukan dengan sangat kejam dan ganas.

Beliau menegaskan bahawa tindakan tersebut telah dirancang terlebih dahulu dengan membawa senjata ke tempat kejadian. Selain itu, May Ling memaklumkan bahawa Azizul Azual bertanggungjawab membawa senjata dan menjadi orang pertama yang menyerang Bakarudin, manakala Sulkarnain mengatur pertemuan dan turut terlibat dalam tindakan yang membawa kepada pembunuhan tersebut.

Noorman juga memainkan peranan dalam meletakkan pedang di leher mangsa dan membantu dalam pembakaran.

Peguam-peguam yang mewakili banduan, Abdul Rashid Ismail untuk Azizul Azual, serta Datuk C. Vignesh Kumar untuk Sulkarnain dan Noorman, memohon agar mahkamah mempertimbangkan usia muda ketiga-tiga mereka.

Mereka berhujah bahawa pembunuhan tersebut tidak dirancang dan berlaku akibat provokasi, disebabkan oleh tindakan Bakarudin yang mengganggu teman wanita Sulkarnain.

Sekadar rekod, pada 23 Februari 2015, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Tan Sri Ahmad Maarop telah menolak rayuan terakhir mereka dan mengekalkan sabitan serta hukuman mati untuk ketiga-tiga banduan tersebut.

Kredit – KOSMO

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Jaga Warga Filipina Bayar RM250 Untuk Mykad Palsu