Kuala Lumpur,15 July 2024, 16:00 – SEORANG pekerja dari syarikat kereta sewa di Tanjung Malim dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan pada hari Rabu minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Muallim, Supt Mohd Hasni Mohd Nasir, menyatakan bahawa laporan kehilangan wanita yang dikenali sebagai Nur Farah Kartini Abdullah telah dibuat oleh rakan serumahnya pada pukul 1.56 pagi semalam.
Rakan mangsa telah berusaha menghubunginya tetapi tidak mendapat sebarang jawapan. Difahamkan, mangsa mempunyai teman lelaki dan pihak polis kini sedang mencari individu tersebut untuk membantu dalam siasatan.
Nur Farah Kartini, yang berasal dari Sarawak dan merupakan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), terakhir dilihat memakai pakaian korporat biru, bertudung, dan seluar slek hitam.
Menurut seorang wakil yang enggan dikenali, Nur Farah, 25 tahun, adalah seorang yang sangat berdedikasi dalam tugasnya selama hampir setahun menguruskan perkhidmatan sewa kereta.
“Dia bukan pekerja tetap syarikat ini, tetapi membantu dalam urusan sewa kereta untuk mendapatkan komisen. Selain itu, dia juga membantu pelajar universiti mencari kereta sewa jika mereka perlu,” kata wakil tersebut.
Mengikut maklumat yang diterima, Nur Farah terakhir berurusan dengan syarikat pada 10 Julai lalu apabila dia menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan di sebuah taman perumahan sekitar pukul 8 pagi.
Selepas itu, Farah dilaporkan meninggalkan tempat tersebut dengan sebuah kereta merah, namun maklumat mengenai model dan nombor pendaftaran kereta tersebut tidak diketahui. Kebetulan pada pagi itu, hujan turun dengan lebat.
Sebelum kejadian itu, wakil pengurusan syarikat telah menghubungi Farah untuk menghantar kereta sewa, dan dia membalas pesanan tersebut melalui WhatsApp seperti biasa.
Komunikasi terakhirnya dengan pengurusan berlaku pada pukul 8.14 pagi, dan selepas itu, tiada lagi maklumat atau balasan dari Farah.
Telefon bimbit Farah telah dihubungi tetapi tiada jawapan diterima, dan pesanan WhatsApp juga tidak dibaca atau dibalas. Keluarga Farah, yang berasal dari Sarawak, kini berada di Semenanjung dan sedang berusaha mendapatkan maklumat lanjut mengenai kehilangan tersebut.
Abangnya yang tinggal di Selangor telah datang ke Tanjung Malim untuk mencari perkembangan terkini mengenai adiknya.
Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di talian 05-4596122 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Kehilangan Farah mula tular di media sosial setelah seorang pengguna memuat naik hantaran mengenai kehilangannya, dipercayai rakannya.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah peguam pertama jadi Ketua Hakim Negara