Ketua Hakim Negara

 

Kuala Lumpur, 15 July 2024, 12:00 – TUN Mohamed Dzaiddin Abdullah, seorang tokoh yang sangat dihormati dalam bidang kehakiman dan perundangan, telah meninggal dunia hari ini pada usia 86 tahun. Beliau terkenal sebagai peguam pertama yang dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, mencatatkan sejarah penting dalam sistem perundangan negara.

Dilahirkan di Perlis, Tun Mohamed Dzaiddin memulakan pendidikan awalnya di Sekolah Melayu, Arau. Kemudian, beliau meneruskan pengajian di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar sebelum melanjutkan ke Barrister-at-Law, Honourable Society of Middle Temple, Inns of Court, London pada tahun 1961.

Sebelum diterima sebagai peguam bela di England pada Jun 1966, beliau memulakan kerjayanya sebagai wartawan di akhbar The Malay Mail di Kuala Lumpur pada tahun 1956 dan kemudian menyertai pasukan polis sebagai Inspektor hingga tahun 1961.

Pada Januari 1967, Tun Mohamed Dzaiddin dilantik sebagai peguam bela dan peguam cara di Mahkamah Tinggi Malaya. Beliau berkhidmat di Kota Bharu, Kelantan dan Kuala Lumpur sehingga Oktober 1982.

Beliau memulakan kerjaya kehakiman sebagai Pesuruhjaya Kehakiman secara separuh masa pada tahun 1979, sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada Oktober 1982. Semasa tempoh ini, beliau menyumbangkan khidmatnya di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Pada Januari 1993, beliau dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Agung dan kemudian Hakim Mahkamah Persekutuan. Pada tahun 2000, Tun Mohamed Dzaiddin dilantik sebagai Ketua Hakim Negara dan memegang jawatan tersebut hingga tahun 2003.

Beliau juga mempunyai pengalaman luas dalam organisasi perundangan, termasuk sebagai bekas Pengerusi Jawatankuasa Majlis Peguam Kelantan dan wakil negeri ke Majlis Peguam, serta Naib Presiden Majlis Peguam Malaysia bagi penggal 1981/1982. Pada tahun 1997, beliau dipilih sebagai Presiden Persatuan Undang-Undang ASEAN dan memegang jawatan tersebut hingga Mei 2003.

Selain itu, beliau juga merupakan pemeriksa luar Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya.

Tun Mohamed Dzaiddin turut dikenang kerana keputusan kontroversialnya pada tahun 1986 ketika beliau menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap dua rakyat Australia, Kevin John Barlow dan Brian Geoffrey Chambers, kerana kesalahan mengedar dadah.

Keputusan ini menyebabkan beliau digelar sebagai “hakim yang menggantung” oleh media Barat.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Penjualan projek Semarak 20 dapat bayar hutang FELCRA kepada kerajaan