Aib Di Media Sosial

 

Kuala Lumpur, 10 July 2024, 12:00 –

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, telah mengeluarkan amaran kepada rakyat agar tidak menjadikan media sosial sebagai medan perbalahan atau membuka aib orang lain. Baginda menegaskan bahawa tindakan sedemikian boleh membawa kepada perpecahan dan persengketaan dalam masyarakat.

Dalam titahnya semasa Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M di Putrajaya, Sultan Ibrahim menegaskan kepentingan untuk tidak bersikap melampau, terutamanya dalam isu-isu berkaitan kaum dan agama.

Baginda meminta rakyat supaya tidak menyebarkan maklumat yang memalukan atau aib orang lain kerana ini boleh menimbulkan ketegangan dan konflik.

Seri Paduka Baginda turut menyoroti cabaran besar yang dihadapi oleh masyarakat hari ini dalam menghadapi aliran maklumat tanpa sempadan melalui media sosial.

Oleh itu, Baginda menyeru agar setiap individu berhati-hati dalam menuntut ilmu agama secara dalam talian dan memastikan bahawa sumber maklumat yang diperoleh adalah sahih dan berwibawa.

Sultan Ibrahim mengungkapkan kebimbangan terhadap penyebaran maklumat agama Islam yang tidak tepat dan mengelirukan di media sosial. Beliau membandingkan cara pembelajaran agama dahulu yang melalui pembacaan kitab dan kuliyah di masjid dengan cara pembelajaran moden yang sering melalui ‘Ustazah Facebook’ dan ‘Ustaz Tik Tok’.

Baginda mengingatkan umat Islam untuk bijak menilai maklumat agama yang diterima dan berhati-hati dengan kemungkinan kekeliruan dan penyimpangan dalam amalan agama akibat daripada maklumat yang salah.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim meminta kerajaan agar memperkukuh penguatkuasaan terhadap kandungan ajaran sesat dan menyediakan pusat rujukan agama untuk menyebarkan ilmu yang tepat.

Berkenaan pembentukan negara, Sultan Ibrahim menyatakan bahawa Hijrah membawa makna penting dalam penyatuan ummah dan perpaduan masyarakat. Baginda menyeru rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, untuk memperkukuh semangat persaudaraan dan membentuk generasi masa depan yang bersatu padu.

Sultan Ibrahim juga menegur tentang berlakunya pelbagai fahaman dan ajaran Islam yang mengelirukan di negara ini. Baginda menekankan agar umat Islam tidak terpengaruh dengan ajaran yang mempunyai kepentingan peribadi dan menyarankan agar semua pihak membuat pilihan yang bijak dalam hal ini.

Dalam semangat Maal Hijrah tahun ini, Sultan Ibrahim mengajak umat Islam untuk meninggalkan tabiat buruk dan amalan yang bertentangan dengan Al-Quran.

Sambutan Maal Hijrah tahun ini yang bertemakan “Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI” diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan dihadiri oleh kira-kira 6,000 tetamu.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Anwar Seru NGO, Gerakan Belia Tolak Rasuah, Salah Guna Kuasa