Rasuah

 

Kuala Lumpur, 09 July 2024, 16:00 PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyeru kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan gerakan belia di Malaysia untuk menyokong usaha kerajaan dalam menentang rasuah, penyalahgunaan kuasa, dan penindasan.

Anwar mengingatkan bahawa Rasulullah SAW pada zaman dahulu dengan kekuatan keyakinan, akidah, akhlak, dan nilai-nilai luhur telah berjuang mempertahankan hak dan keadilan dengan menolak penyelewengan, kezaliman, dan rasuah yang berlaku di masyarakat.

Beliau menegaskan bahawa jika masyarakat mengamalkan sifat-sifat tersebut dengan memahami maksud hijrah dan bangkit dari kemalasan untuk meningkatkan martabat diri, negara pasti akan berkembang pesat.

“Hijrah bermakna meninggalkan amalan buruk dan syirik, kezaliman, serta penindasan yang meluas. Dengan perubahan ini, kita boleh maju. Saya yakin Pertubuhan Lima Generasi (PLG) Malaysia akan membawa semangat yang sama. Kita akan selamatkan bangsa dan umat kita.

“Saya mungkin generasi lama, tetapi dalam mempertahankan hak dan kedaulatan, saya tidak akan berganjak… lawan tetap lawan!” ujar Anwar semasa merasmikan penubuhan PLG di Ipoh malam tadi.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi, serta Presiden PLG Datuk Abdullah Ghani Kassim.

Anwar mengingatkan masyarakat agar tidak leka kerana negara kini sedang berlumba untuk maju.

Beliau menekankan pentingnya pelaburan dalam digital, kecerdasan buatan, dan usaha membasmi kemiskinan, dengan syarat utama adalah kepimpinan golongan muda, PLG, dan pimpinan politik yang menolak kezaliman dan penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan peribadi.

“Saya memberi jaminan dengan kuasa yang ada pada saya, saya akan memastikan baik PLG mahupun jentera lain akan memperkukuh dan mengangkat martabat bangsa menjadi bangsa yang cemerlang,” katanya.

Sebagai penutup, Perdana Menteri mengajak semua pihak menghentikan perbalahan dan memanfaatkan semangat hijrah untuk bangkit sebagai satu kekuatan. Beliau menegaskan bahawa bangsa yang hebat adalah bangsa yang berilmu, berprinsip, bekerja keras, dan menegakkan keadilan.

Dalam majlis tersebut, Anwar juga menyerahkan sumbangan daripada PLG Malaysia kepada lima pelajar cemerlang di negeri itu, termasuk dua pelajar cemerlang STPM Penggal 1 2024, seorang pelajar cemerlang STPM Penggal 2 2024, dan dua pelajar cemerlang SPM 2023.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Polis Tahan Pemilik Akaun Tiktok Disyaki Ugut, Fitnah Pempengaruh Wanita