Kuala Lumpur, 09 July 2024, 12:00 – SEORANG wanita berusia 35 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan berkenaan dengan kes ugutan yang berlaku melalui aplikasi TikTok. Kes ini melibatkan seorang pempengaruh media sosial di sebuah kelab golf di Rawang, Selangor.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari, mengesahkan bahawa wanita tersebut disyaki terlibat dalam membuat ugutan terhadap mangsa yang dikenali sebagai Rajeswary atau Esha melalui akaun TikToknya. Aduan telah dibuat oleh seorang lelaki berusia 39 tahun pada Sabtu lalu, berkaitan kejadian yang dipercayai berlaku antara 30 Jun hingga 1 Julai.
“Lelaki tersebut mendapati dua hantaran di aplikasi TikTok yang memfitnah dan mengugut Rajeswary (Esha). Kedua-dua akaun tersebut telah menggunakan gambar Rajeswary sebagai latar belakang video yang dimuat naik,” jelas beliau.
Kandungan hantaran tersebut didapati mengandungi ugutan dan ancaman serta menggunakan bahasa kesat dan lucah terhadap Rajeswary (Esha). Hasil semakan polis menunjukkan bahawa tohmahan yang dilaporkan adalah sah berdasarkan tangkap layar yang dikemukakan, dan kandungan tersebut disyaki telah dipadamkan.
Wanita yang bekerja sebagai pembantu rumah jagaan orang tua itu kini direman sehingga Rabu ini untuk membantu dalam siasatan. Polis juga masih mencari seorang lagi pemilik akaun TikTok yang terlibat.
Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penyebaran kenyataan jelik), dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (kelakuan aib).
Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil melawat keluarga seorang pempengaruh TikTok yang didakwa membunuh diri selepas menjadi mangsa buli siber di Gombak Setia. Mayat pempengaruh wanita berumur 29 tahun itu ditemui di rumahnya sekitar jam 11 pagi, Jumaat lalu.
Kredit – BERNAMA
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>