PLUS

 

Kuala Lumpur, 04 July 2024, 12:00 – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan PETRONAS Dagangan Berhad (PETRONAS Dagangan) telah menjalin kerjasama untuk membangunkan stesen hibrid komersial pertama di lebuh raya Malaysia, dengan Lembah Klang dipilih sebagai lokasi perintis.

Dalam satu kenyataan hari ini, PLUS mengumumkan bahawa kerjasama ini dimeterai melalui Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman yang berlangsung baru-baru ini.

Kerjasama ini akan menyaksikan pelancaran Stesen Super Hibrid yang diharapkan akan menjadi penanda aras baru dalam perkhidmatan lebuh raya di Malaysia, serta memberikan lebih keselesaan dan pilihan kepada pengguna.

Datuk Nik Airina Nik Jaffar, Pengarah Urusan PLUS, menyatakan bahawa pembangunan Stesen Super Hibrid ini akan memacu pelaksanaan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon negara.

“Penubuhan stesen hibrid ini bertujuan untuk memperluaskan kemudahan mobiliti kami, meningkatkan pengalaman pengguna lebuh raya, dan membolehkan mereka menikmati amalan kelestarian sepanjang perjalanan,” tambahnya.

Azrul Osman Rani, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Dagangan, pula menyatakan bahawa setiap aspek Stesen Super Hibrid ini akan direka berdasarkan trend dan keperluan pelanggan. Beliau yakin kerjasama ini akan meningkatkan keselesaan pengguna dan mengubah pengalaman mereka di lebuh raya.

Stesen Super Hibrid ini akan menyediakan pelbagai perkhidmatan, termasuk stesen petrol dan diesel berskala besar serta stesen pengecasan pantas (DCFC) untuk pengguna kenderaan elektrik (EV). Selain itu, ia juga akan menawarkan kemudahan awam yang lebih selesa.

Fokus pembangunan stesen ini juga akan diletakkan pada kelestarian, dengan reka bentuk bangunan yang efisien tenaga, ruang hijau, dan penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui. Stesen ini dijangka menjadi salah satu mercu tanda baharu di lebuh raya.

Lembah Klang dipilih sebagai lokasi perintis untuk pembangunan fasiliti ini, yang akan mempunyai keluasan lebih 30,000 kaki persegi. Pembangunan ini bertujuan untuk menyediakan fasiliti yang lengkap dan selesa bagi memenuhi keperluan pengguna lebuh raya.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Akta 852 Akan Dikuatkuasakan Sepenuhnya Ogos Depan – KKM