Kuala Lumpur, 03 July 2024, 12:00 – KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan menguatkuasakan sepenuhnya peraturan dan perintah di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bermula Ogos depan.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, lima peraturan utama termasuk pendaftaran, penjualan, pembungkusan dan pelabelan, serta satu perintah mengenai larangan merokok di tempat awam, akan dilaksanakan serentak dengan Akta 852. Ini juga merangkumi kawalan terhadap rokok elektronik.
“Tiga peraturan telah diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC), sementara dua lagi peraturan dan satu perintah tambahan sedang dalam proses kelulusan,” katanya melalui aplikasi X.
Beliau menambah, peraturan dan perintah ini akan dikuatkuasakan bersama Akta 852 pada bulan Ogos 2024, bergantung kepada penyelesaian semua proses yang diperlukan. “Kami berharap tiada penangguhan lagi,” ujarnya.
Sebelum ini, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) telah menggesa kerajaan untuk segera mewartakan peraturan yang mengawal selia industri vape bagi memastikan produk tersebut tidak dipromosikan atau dibeli oleh golongan bawah umur.
Presiden MMA, Dr Azizan Abdul Aziz, menyatakan bahawa tindakan segera perlu diambil berikutan laporan mengenai kesan buruk penggunaan rokok elektronik, termasuk kecederaan pada paru-paru yang melibatkan kanak-kanak.
Dr Dzulkefly juga menyedari kebimbangan yang timbul akibat kelewatan pelaksanaan Akta 852.
“Saya benar-benar memahami kebimbangan ini. Oleh itu, kami memohon agar anda memberikan sedikit masa lagi kerana KKM sedang berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan kelulusan AGC bagi peraturan dan perintah ini,” jelasnya.
Kredit – SHarian
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>