Kuala Lumpur, 02 July 2024, 12:00 – MALAYSIA telah disenaraikan di tangga ketujuh dalam senarai negara paling dipercayai berdasarkan hasil kajian Barometer Kepercayaan Edelman 2024 yang melibatkan tinjauan ke atas 28 negara.
Laporan tersebut menunjukkan Malaysia naik dua anak tangga dengan mencatatkan kenaikan enam mata kepada skor 68 dalam Indeks Kepercayaan secara keseluruhan, yang mewakili purata peratusan kepercayaan rakyat terhadap badan bukan kerajaan (NGO), perniagaan, kerajaan, dan media.
Negara-negara lain yang termasuk dalam kelompok 10 teratas adalah China (skor 79), India (76), Emiriah Arab Bersatu (74), Indonesia (73), Arab Saudi (72), Thailand (70), Singapura (67), Kenya (64), dan Nigeria (61).
Dalam kenyataannya, Edelman menyebut bahawa kerajaan Malaysia telah menunjukkan peningkatan yang ketara sebanyak 13 mata dalam kepercayaan rakyat sejak tahun lalu.
Ketua Pegawai Operasi Edelman Malaysia, Chris de Cruz, berkata peningkatan kepercayaan terhadap Malaysia menunjukkan perubahan positif dalam persepsi awam terhadap tadbir urus dan rangka kerja institusi negara ini.
“Situasi ini mencerminkan peningkatan optimisme dalam keupayaan untuk mengatasi cabaran ekonomi serta memupuk pertumbuhan yang inklusif,” katanya.
Hasil kajian tersebut juga menunjukkan perniagaan adalah institusi paling dipercayai dengan skor 75, diikuti oleh NGO (70), kerajaan (67), dan media (60). Edelman juga menegaskan bahawa perniagaan dilihat sebagai pemacu utama perubahan masyarakat dan menjadi institusi paling dipercayai.
Berdasarkan kajian tersebut, rakyat Malaysia turut berharap agar golongan ketua pegawai eksekutif mengambil sikap tegas dalam isu-isu kritikal termasuk gaji yang adil, perubahan iklim, dan ketidaksamaan ekonomi.
“Perniagaan yang sejajar dengan nilai-nilai awam dan secara aktif menangani kebimbangan masyarakat cenderung mendapat sokongan orang ramai. Perniagaan adalah institusi paling dipercayai dalam Barometer Kepercayaan Edelman dan dilihat sebagai mekanisme inovasi.
“Namun, perniagaan juga perlu memberi keutamaan kepada pelaksanaan dan menerima perubahan seperti yang dilakukan dalam penyelidikan dan pembangunan,” kata de Cruz.
Laporan ini adalah hasil kajian yang dijalankan pada 3-22 November 2023 dan melibatkan lebih daripada 32,000 responden di 28 negara, termasuk lebih daripada 1,000 responden di Malaysia yang turut memberikan gambaran sentimen awam mengenai aspek kepercayaan, inovasi, dan tadbir urus.
Usaha ini juga merupakan tinjauan tahunan bagi firma tersebut yang mengetengahkan asas program kepimpinan pemikiran mereka yang meneliti keyakinan dan kredibiliti merentasi pelbagai industri, geografi, dan demografi.
Kredit – BERNAMA
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Kumpulan baju hitam berhimpun di pekarangan Kompleks Seri Perdana