Berhimpun

 

Kuala Lumpur, 01 July 2024, 16:00 – KIRA-kira 200 orang peserta telah berhimpun di kawasan letak kenderaan pekarangan Kompleks Seri Perdana di sini, menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar memenuhi lapan permintaan mereka.

Kumpulan yang berpakaian hitam ini melalui perhimpunan “Demo Rakyat Lawan Anwar” mendesak Perdana Menteri untuk menurunkan harga diesel dan memastikan harga petrol tidak dinaikkan.

Selain itu, mereka juga menuntut agar kerajaan pimpinan Anwar mengembalikan bekalan beras putih tempatan serta membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Tuntutan lain yang disuarakan oleh kumpulan ini termasuklah menurunkan kos sara hidup, membela nasib kakitangan kesihatan awam, memberikan peruntukan yang sama rata kepada wakil rakyat, menjamin hak kebebasan bersuara, serta menghentikan dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan penjarahan aset negara.

Para peserta perhimpunan tersebut juga membawa sepanduk yang memaparkan tuntutan mereka sambil menyanyi sebagai tanda terima kasih kepada pihak polis.

Perhimpunan ini bermula pada jam 4 petang dan dijangka selesai pada jam 7 petang.

Sebelum itu, kawasan pekarangan Kompleks Seri Perdana dikawal ketat oleh anggota dan pegawai polis akibat perhimpunan ini.

Malah, laluan masuk ke kediaman rasmi Perdana Menteri serta kawasan sekitarnya turut dipasang penghadang selepas Ketua Polis Kuala Lumpur menyatakan bahawa perhimpunan tersebut tidak mendapat kebenaran dari Perbadanan Putrajaya, selaku pemilik tanah.

Media sebelum ini melaporkan bahawa perhimpunan “Demo Rakyat Lawan Anwar” tidak mendapat kebenaran dari Perbadanan Putrajaya (PPj) sebagai pemilik lokasi berhimpun.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata bahawa pihak polis telah menasihatkan penganjur untuk tidak meneruskan perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di tempat letak kereta awam berhadapan Kompleks Seri Perdana pada jam 4 petang itu kerana tidak mendapat kebenaran daripada pemilik tanah.

Namun begitu, penganjur perhimpunan tetap bertekad untuk meneruskan perhimpunan tersebut meskipun tidak mendapat keizinan daripada Perbadanan Putrajaya.

Aidil Yunus, Ketua Penggerak Demi Negara yang juga merupakan penganjur perhimpunan, berkata bahawa pihaknya merasakan mereka berhak untuk berhimpun dan tindakan tersebut tidak melanggar undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Kredit – BHarian

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Sime Darby Motors Buka Pusat Servis Untuk Semua Jenama Kereta