Ekonomi Digital

 

Kuala Lumpur, 29 Jun 2024, 16:00 –

EKONOMI digital dijangka menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang akhir tahun depan, meningkat daripada 23 peratus ketika ini, menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Gobind Singh Deo.

Gobind menyatakan keyakinan bahawa prestasi ekonomi digital mungkin melebihi sasaran ini, berikutan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk memperkukuhkan infrastruktur digital seperti memperluaskan capaian internet untuk memudahkan akses orang ramai.

“Perkembangan ini bergantung pada kepantasan teknologi yang kita gunakan dan usaha kita untuk mempertingkatkan ekonomi digital negara. Saya percaya ini adalah sasaran yang boleh kita capai,” katanya selepas merasmikan MYDINPay di Mydin Subang Jaya.

Dalam ucapannya, Gobind menegaskan bahawa ekonomi digital yang sedang berkembang pesat mempunyai potensi besar untuk membawa Malaysia ke persada ekonomi global, seterusnya menjana pendapatan negara.

Beliau menggesa pemain industri lain untuk mencontohi langkah MYDIN yang mengadaptasi dan bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi semasa, serta menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi digital negara.

Sementara itu, Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin, menyatakan bahawa inisiatif yang dilancarkan hari ini menunjukkan kesediaan MYDIN untuk bergerak ke era digital dan komitmen syarikat tersebut terhadap perkembangan landskap fintech yang pesat.

“Kami komited untuk memastikan pelanggan setia menikmati pengalaman membeli-belah yang lebih baik melalui inovasi perniagaan yang memudahkan mereka. Kami telah berada dalam industri peruncitan selama lebih enam dekad, dan kami perlu terus menyesuaikan perniagaan mengikut perubahan semasa kerana keperluan pelanggan sentiasa berubah.

Integrasi penyelesaian fintech canggih ini bertujuan menjadi penanda aras baru untuk kemudahan runcit dan penglibatan digital,” katanya.

Bersempena dengan pelancaran ini, MYDINPay menawarkan baucar RM5 kepada 1,000 pengguna awal aplikasi tersebut, sementara 3,000 pelanggan pertama yang membelanjakan RM150 ke atas menggunakan aplikasi ini di mana-mana cawangan MYDIN layak mendapat pulangan tunai sebanyak lima peratus.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

BNM Boleh Ambil Tindakan, Penalti Kepada Bank Jika Berlaku Gangguan Khidmat Dalam Talian