
Kuala Lumpur, 29 Jun 2024, 11:00 – BANK Negara Malaysia (BNM) boleh mengambil tindakan penyeliaan dan mengenakan penalti terhadap pelanggaran undang-undang di bawah pengawasannya, khususnya bagi insiden gangguan perkhidmatan dalam talian bank yang berlaku baru-baru ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, menjelaskan bahawa tindakan susulan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 akan bergantung kepada penilaian punca utama serta impak gangguan yang dilaporkan oleh pihak terlibat.
“Merujuk kepada insiden gangguan perkhidmatan dalam talian bank yang berlaku baru-baru ini, BNM telah mengambil tindakan segera dengan mengarahkan institusi perbankan terbabit untuk menentukan punca utama gangguan tersebut.
Selain itu, langkah pembetulan dan pencegahan yang sesuai juga ditetapkan bagi mengelak masalah yang sama berulang di masa hadapan,” katanya.
Selain itu, bank-bank yang terlibat juga diarahkan untuk berkomunikasi dengan pelanggan yang terjejas, termasuk menjawab sebarang aduan dan pertanyaan dengan segera akibat gangguan tersebut.
Beliau menyatakan demikian dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, sebagai respon kepada pertanyaan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai pandangan kerajaan terhadap isu kekerapan gangguan perkhidmatan tersebut dan kemungkinan mengenakan penalti ke atas insiden yang menyusahkan pengguna.
Lim turut menambah bahawa BNM melakukan pemantauan rapi untuk memastikan institusi perbankan terbabit bertindak memulihkan perkhidmatan perbankan secepat mungkin.
Di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, BNM mempunyai kuasa untuk mengenakan tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan terhadap institusi kewangan yang tidak mematuhi peruntukan dokumen dasar yang relevan.
Ini termasuk kegagalan memastikan sistem kritikal yang mengalami masa henti tidak dijangka tidak melebihi masa henti maksimum yang boleh diterima, yang menjejaskan akses perkhidmatan pelanggan.
Menjawab soalan tambahan Dr Wee mengenai ketidakstabilan transaksi e-pembayaran, Lim menjelaskan bahawa pembayaran berkaitan dilakukan dengan segera kecuali pada hari perayaan dan minggu tertentu, di mana ia akan diproses pada hari perniagaan berikutnya.
Kredit – BERNAMA
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
BNM tambah 6 entiti baharu dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan