Ejen Insurans

 

Kuala Lumpur, 26 Jun 2024, 16:00 PIHAK polis berjaya menumpaskan satu sindiket yang menyamar sebagai ejen insurans dan membuat caruman tanpa pengetahuan mangsa sebelum membunuh mereka untuk mendapatkan tuntutan pampasan.

Ketua Polis Johor, CP M Kumar, menyatakan bahawa sindiket ini berjaya ditumpaskan hasil siasatan terhadap kes pembunuhan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun di Kulai pada 6 Mei lalu.

Menurut beliau, pada awalnya lelaki tersebut dipercayai meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Namun, siasatan lanjut mendapati bahawa mangsa sebenarnya dibunuh oleh sindiket tersebut untuk memperoleh tuntutan pampasan insurans.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan membuat caruman insurans nyawa sebanyak RM500,000 terhadap individu yang dipilih secara rawak tanpa pengetahuan mereka. Sasaran biasanya adalah orang yang sebatang kara.

“Setelah proses dokumentasi dan polisi insurans mangsa diluluskan oleh syarikat insurans yang sebenar, sindiket kemudian merancang untuk membunuh mangsa seolah-olah mangsa meninggal dunia akibat kemalangan,” katanya dalam satu sidang media di Johor Bahru hari ini.

Kumar turut menyatakan bahawa seramai lapan lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 49 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan, dan usaha untuk menangkap individu lain yang terlibat dalam sindiket ini sedang giat dijalankan.

Dalam kejadian pada 4.40 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dihimpit dan dilanggar oleh dua kereta serta sebuah motosikal di Jalan Senai-Seelong, Kulai.

Mangsa yang terjatuh kemudian dipukul oleh empat individu sebelum dilanggar oleh sebuah lori jenis Isuzu yang kebetulan melalui jalan tersebut, menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.

“Selepas mangsa meninggal dunia, suspek membuat permohonan tuntutan insurans melalui ejen yang juga ahli sindiket. Namun, tuntutan insurans tersebut tidak sempat diproses kerana modus operandi sindiket telah dibongkar oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor,” jelasnya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Empat individu yang ditahan telah didakwa di Mahkamah Majistret Kulai pada 19 Jun lalu, manakala empat lagi diberi bon jaminan.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Pakaian Rasmi Kontinjen Malaysia Ke Olimpik Paris Kekal Imej Harimau