
Kuala Lumpur, 26 Jun 2024, 12:00 – PAKAIAN rasmi kontinjen negara ke pelbagai temasya sukan direka dengan mengambil kira konsep terkini walaupun terdapat kekangan tertentu, kata Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib.
Menurut beliau, pemilihan pakaian rasmi dibuat selepas MOM dan pihak penaja berbincang serta mempertimbangkan beberapa faktor seperti kos yang perlu dikeluarkan.
“Kita tertakluk kepada apa yang penaja boleh sediakan dalam keadaan pengehadan tertentu dan ia juga bergantung kepada bajet. Jika mahu yang terbaik atau premium, faktor kos perlu diambil kira oleh penaja,” katanya kepada Bernama hari ini.
Semalam, pakaian rasmi kontinjen negara ke temasya sukan seperti baju berkolar, baju T dan jaket diperkenalkan sempena sambutan Hari Olimpik di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.
Namun, ramai peminat sukan tanah air di media sosial meluahkan ketidakpuasan hati terhadap rekaan pakaian tersebut yang dianggap kurang moden dan tidak membangkitkan semangat berbanding pakaian rasmi sebelum ini.
Mengulas lanjut, Mohd Nazifuddin berkata rekaan baharu ini akan digunakan buat kali pertama pada Sukan Olimpik Paris 2024. MOM akan mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh, atlet dan pegawai sukan mengenai reaksi terhadap pakaian tersebut.
“Untuk sementara ini, pakaian rasmi ini akan digunakan oleh kontinjen ke Paris. Bagaimanapun, pakaian untuk upacara pembukaan adalah berbeza. Pakaian rasmi ini hanya untuk digunakan sewaktu temasya dalam perjalanan ke venue pertandingan,” jelasnya.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menerusi ciapan di X menjelaskan bahawa pemilihan pakaian rasmi kontinjen negara adalah di luar bidang kuasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN).
“Pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke temasya pelbagai sukan adalah di bawah tanggungjawab MOM. Ini merupakan hasil kerjasama antara Yonex dan MOM dan ia di luar bidang kuasa KBS dan MSN,” katanya.
Sukan Olimpik Paris dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos tahun depan.
Kredit – BERNAMA
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Sebahagian Besar Isu Dalam Laporan IMD Telah Diselesaikan – Anwar