Kuala Lumpur, 14 Jun 2024, 12:00 – ISU keracunan makanan kini semakin mendapat perhatian ramai, terutamanya apabila laporan mengenai kes-kes ini semakin meningkat di kawasan sekolah. Masalah ini menimbulkan kebimbangan, terutama di kalangan ibu bapa yang risau tentang kesihatan diri dan anak-anak mereka, memandangkan keracunan makanan boleh mengancam nyawa.
Pada Isnin lalu, dua kes kematian dilaporkan akibat keracunan makanan selepas memakan bihun goreng dan telur yang disediakan untuk program di sebuah sekolah di Gombak. Kes pertama melibatkan seorang remaja lelaki tempatan berusia 17 tahun yang makan makanan yang dibawa pulang oleh ibunya selepas menghadiri program di sekolah tersebut pada hari Sabtu. Mangsa kedua adalah seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang juga memakan makanan yang sama.
Bapa mangsa, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah itu, telah membawa pulang makanan tersebut selepas program pada hari Sabtu.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) melaporkan bahawa 82 daripada 247 orang mengalami simptom keracunan makanan selepas makan sarapan dalam Program Kamil Peringkat Daerah Gombak pada hari Sabtu lepas. Keracunan ini dipercayai berpunca daripada bihun goreng dan telur mata yang didakwa telah berubah rupa dan rasa.
Menurut Dr. Mohd Redzwan, Pensyarah Kanan Jabatan Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), penyediaan bahan tercemar dan membiarkan makanan dalam jangka masa yang lama merupakan faktor risiko tinggi bagi keracunan makanan yang boleh menyebabkan kematian.
Beliau menekankan bahawa pihak yang mengendalikan makanan perlu lebih peka terhadap kebersihan dan keadaan makanan. Oleh itu, semua pihak, termasuk pengeluar, pengusaha, dan peniaga makanan, perlu bertanggungjawab dalam memastikan kebersihan makanan.
Pengusaha makanan, khususnya di kantin sekolah, perlu memainkan peranan penting dalam menjaga kebersihan untuk mencegah keracunan makanan di kalangan pelajar. Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk berhati-hati dan memilih dengan teliti sebelum membeli makanan.
Kredit – SHarian
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>