Bahasa Tempatan

 

Kuala Lumpur, 13 Jun 2024, 12:00 – WARGA Kementerian Komunikasi diingatkan agar memastikan penyampaian maklumat kepada komuniti atau kumpulan sasaran dapat difahami dengan baik dan tidak disalah tafsir. Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menegaskan bahawa penggunaan bahasa tempatan, termasuk dialek-dialek daerah, harus diterapkan dalam penyampaian dasar dan program kerajaan untuk memudahkan pemahaman komuniti setempat.

Menurut Fahmi, apabila beliau melawat atau mengadakan pertemuan dengan komuniti di lapangan, beliau menyedari bahawa pendekatan penyampaian mesej perlu disesuaikan mengikut keperluan komuniti tersebut. “Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian etnik, bahasa, dan dialek. Oleh itu, kita perlu memastikan mesej yang disampaikan bukan hanya menggunakan bahasa rasmi tetapi juga dalam bentuk yang mudah difahami oleh masyarakat akar umbi,” katanya.

Contohnya, di Pulau Bum Bum di Semporna, Sabah, mungkin terdapat perkara tertentu yang memerlukan penyesuaian dalam penyampaian mesej supaya ia dapat difahami dengan lebih baik oleh penduduk tempatan.

Semasa berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi bulan Jun 2024 di Putrajaya, Fahmi menyatakan bahawa maklum balas dari Komuniti Madani menunjukkan bahawa penyampaian maklumat kerajaan sering kali terlalu formal. “Kadangkala, kita menggunakan ‘bahasa Putrajaya’ yang penuh dengan nahu, koma, dan titik yang tepat, namun ia tidak selalu sesuai dengan realiti komuniti yang kita sasar.”

Fahmi juga meminta warga kerja Kementerian Komunikasi untuk bekerjasama dengan kementerian lain dalam memastikan mesej dasar dan program disampaikan dengan berkesan kepada kumpulan sasaran. “Kejayaan kita bergantung kepada kejayaan rakan-rakan kita dalam komunikasi korporat dan setiausaha akhbar di kementerian lain. Jika mereka menghadapi kesukaran dalam menyampaikan maklumat, itu juga merupakan cabaran bagi kita. Kita perlu memberikan bantuan dan sokongan untuk memastikan komunikasi berjalan dengan baik,” tambah beliau.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Penggunaan rokok elektronik vape akan dikawal ketat – Dzulkefly