Kuala Lumpur, 12 Jun 2024, 12:00 – PENGGUNAAN rokok elektronik akan dikenakan kawalan ketat melalui Peraturan-peraturan kawal selia di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang akan mula dikuatkuasakan bulan ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, menyatakan bahawa sehingga kini, penggunaan rokok elektronik masih dikawal selia di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
“Berkenaan cadangan pengharaman vape, undang-undang dan peraturan boleh disemak dan dipinda jika perlu demi kesihatan awam,” katanya kepada pemberita selepas program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di Waterfront Port Dickson semalam.
Beliau menjelaskan bahawa peraturan kawal selia di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 akan dilaksanakan terlebih dahulu, yang mana produk merokok termasuk vape akan dikawal selia dengan ketat.
Menurutnya, sebarang cadangan lain akan dipertimbangkan mengikut tatacara yang ada dan harus dibincangkan dalam ruang demokrasi yang matang.
Dalam program tersebut, Dr. Dzulkefly memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberikan pengiktirafan ‘Bersih dan Selamat’ (BeSS) kepada enam premis makanan di Persiaran Waterfront Port Dickson.
Beliau menekankan bahawa pengiktirafan BeSS penting bagi memastikan peraturan kebersihan makanan dan larangan merokok di premis makanan sentiasa dipatuhi.
Dr. Dzulkefly turut menyatakan bahawa sebanyak 38,347 notis kesalahan telah dikeluarkan sehingga April ini di bawah Peraturan 11(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 berkaitan larangan merokok di tempat larangan.
“Di bawah Peraturan 11(1)(d), PPKHT 2004 iaitu larangan merokok di tempat makan, sebanyak 16,705 notis kesalahan telah dikeluarkan setakat April,” katanya.
Negeri dengan pengeluaran notis kesalahan merokok di tempat makan tertinggi adalah Selangor (6,174), diikuti oleh Pahang (5,054) dan Johor (3,824).
Kredit – BERNAMA
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Penyasaran Subsidi Diesel Perlu Demi Selamatkan Negara – Anwar