Kuala Lumpur, 11 Jun 2024, 16:00 – PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa langkah kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel adalah perlu bagi menyelamatkan negara.
Berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri, beliau yang juga memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan, menekankan bahawa tindakan ini diambil meskipun menyedari ia tidak popular.
“Siapa yang mahu penyasaran subsidi ini? Kita perlu sedar bahawa apa sahaja tindakan yang diambil pasti akan menerima kritikan serta tohmahan yang tidak berasas,” katanya.
“Walaupun semua perdana menteri sebelum ini telah bersetuju dengan penyasaran subsidi ini, mereka tidak mempunyai tekad politik untuk melaksanakannya kerana risiko yang ada. Namun, demi keselamatan negara, kita tiada pilihan lain,” tambah beliau.
Semalam, kerajaan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter, iaitu harga pasaran tanpa subsidi, bermula tengah malam tadi.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjelaskan bahawa harga ini adalah berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM).
Dengan penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar, penjimatan sebanyak RM4 bilion setahun dapat dicapai, yang seterusnya akan mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.
Walau bagaimanapun, penyasaran subsidi ini tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.
Kredit – BERNAMA
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Malaysia, New Zealand Zahir Komitmen Tingkat Kerjasama Pelbagai Bidang