New Zealand

 

Kuala Lumpur, 11 Jun 2024, 12:00 – MALAYSIA dan New Zealand telah menyatakan komitmen mereka untuk memperkuatkan dan memperluaskan lagi kerjasama dua hala, terutama dalam sektor peralihan tenaga, perdagangan dan pelaburan, pendidikan, serta pertahanan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan perkara ini semasa menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar New Zealand, Winston Peters, di bangunan Perdana Putra pada petang Jumaat.

“Kami juga bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, termasuk kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025,” kata Anwar dalam kenyataan pada Jumaat.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, turut menyambut baik lawatan rasmi Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, ke Malaysia pada awal September nanti.

“Semoga hubungan Malaysia dan New Zealand akan terus diperkukuh dan dipertingkatkan demi manfaat bersama kedua-dua negara,” kata Anwar.

Turut hadir dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira 45 minit itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Winston Peters kini sedang dalam lawatan kerja selama empat hari ke Malaysia, yang merupakan destinasi kedua dalam rangka lawatan beliau ke empat negara Asia Tenggara, selepas Vietnam.

Lawatan kerja ini mencerminkan dasar-dasar New Zealand yang mengutamakan kerjasama dengan negara-negara di rantau yang sedang berkembang dan dinamik ini.

Malaysia dan New Zealand memulakan hubungan diplomatik pada 25 September 1967, dan sejak itu, hubungan antara kedua-dua negara terus kukuh dan stabil.

Malaysia sentiasa menyambut baik kehadiran pelancong dari New Zealand yang semakin meningkat setiap tahun, dengan 18,238 pelancong melawat negara ini pada tahun 2022. Selain itu, terdapat 17,000 rakyat Malaysia yang kini menetap di New Zealand.

Di rantau Pasifik, Malaysia merupakan rakan dagangan kedua terbesar New Zealand, dengan jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah RM6.32 bilion (AS$1.42 bilion) setakat Jun 2023.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Umat Islam di Malaysia sambut Aidiladha pada 17 Jun