Kuala Lumpur, 08 Jun 2024, 16:00 – LEBIH 10,000 pelajar yang tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum ini telah ditawarkan untuk menyertai mana-mana kursus program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) di seluruh negara demi masa hadapan mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa tawaran ini diberikan kepada mereka yang mempunyai kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis, dan mengira.
Beliau juga menyatakan bahawa tawaran ini turut melibatkan 1.16 juta pekerja gig seperti e-hailing dan p-hailing bagi meningkatkan produktiviti mereka.
“Saya berpendapat semua yang tidak menduduki SPM tersebut mempunyai kemahiran minimum dan kita menawarkan mereka kursus TVET agar masa depan mereka lebih terjamin.
“Begitu juga kepada 1.16 juta pekerja p-hailing dan e-hailing, kita menawarkan ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ kerana apabila mereka melepasi umur tertentu, produktiviti mereka menurun, dan kursus TVET adalah untuk masa depan mereka,” kata beliau kepada pemberita selepas meninjau sambutan Hari TVET Negara di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat, semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga menggalakkan 11,173 pelajar yang mendapat semua A untuk memilih TVET kerana peluang memasuki kolej dan universiti TVET turut tersedia.
Beliau menjelaskan bahawa terdapat lima Universiti TVET pada masa ini, termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
“Kita mendapati pelajar cemerlang ini akan memendekkan tempoh kursus memandangkan mereka cemerlang dalam akademik. Permohonan boleh dibuat secara atas talian UP_TVET dengan lebih 4,000 kursus dan kita memberikan 10 pilihan dengan memastikan setiap permohonan ini mendapat tempat,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa terdapat 250,000 tempat dengan potensi lepasan SPM menyertai TVET adalah seramai 280,000 yang akan memohon.
“Kita berharap pengambilan pertama bulan Julai ini akan dapat menyerapkan 40 peratus memasuki TVET. Kita juga berharap ibu bapa dapat menggalakkan anak-anak mereka memasuki TVET yang menjanjikan peluang pekerjaan dan gaji tinggi,” katanya.
Sementara itu, lebih 10,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan Hari TVET Negara, semalam.
Ahmad Zahid menyatakan bahawa jumlah ini dijangka akan terus meningkat pada hari kedua (Sabtu) yang mana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan hadir merasmikan Dasar TVET Negara 2030.
Kredit – HMetro
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Bantuan Tunai Budi Madani Cukup Untuk Kebanyakan Pengguna Diesel