Kuala Lumpur, 08 Jun 2024, 12:00 – KIRA-kira 80% pengguna diesel akan mendapat bantuan tunai bulanan melalui program BUDI MADANI, yang bertujuan menampung perbezaan antara harga diesel semasa dan harga baharu yang akan diumumkan kelak.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menyatakan bahawa bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan ditetapkan selepas meneliti data penggunaan dan maklumat dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).
“Data yang diterima dari DoSM menunjukkan tinjauan yang dijalankan di Malaysia, khususnya di Semenanjung Malaysia, berkaitan penggunaan kenderaan diesel,” ujar beliau dalam program Agenda Awani bertajuk ‘Pelaksanaan Subsidi Bersasar Diesel’ pada malam tadi.
Menurut beliau, bantuan ini diharapkan dapat mengurangkan beban pengguna akibat kenaikan harga diesel. Pengiraan bantuan tunai ini berdasarkan data yang telah ada.
Kerangka Ekonomi MADANI menekankan tiga fokus utama: meningkatkan siling sedia ada untuk menambah pendapatan negara, menyediakan peluang untuk melabur semula dalam perkara penting kepada rakyat; meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperbaiki tatakelola negara agar lebih cekap.
“Secara keseluruhannya, penyesuaian subsidi ini adalah inisiatif yang selaras dengan ketiga-tiga fokus tersebut. Dengan mengurangkan ketirisan, pendapatan negara akan meningkat dan kita boleh menggunakannya untuk rakyat dalam aspek infrastruktur, kesihatan, dan pendidikan,” tambahnya.
Pada tahun 2019, subsidi diesel berjumlah RM1.4 bilion, manakala tahun lepas mencatatkan RM14.4 bilion, meningkat sebanyak 10 kali ganda.
Beliau berharap rakyat memahami usaha kerajaan dalam melaksanakan langkah-langkah untuk memperbaiki ekonomi negara demi kepentingan rakyat serta mencapai ruang fiskal yang lebih baik.
Penjimatan sebanyak RM4 bilion yang dijangka dari penyesuaian subsidi diesel diharapkan dapat memberikan ruang fiskal yang lebih luas kepada kerajaan dalam usaha meningkatkan kualiti pelbagai perkhidmatan penting bagi rakyat.
Pada 27 Mei lalu, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan pelaksanaan program BUDI MADANI yang melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian termasuk individu, petani kecil, dan pekebun kecil komoditi.
Program BUDI MADANI menyokong usaha sedia ada kerajaan dalam menyesuaikan subsidi diesel melalui sistem MySubsidi Diesel kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, di mana Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) merupakan program di bawah MySubsidi Diesel.
Di bawah BUDI MADANI, bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan akan diberikan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian, petani kecil, dan pekebun kecil komoditi.
MOF membuka pendaftaran untuk BUDI MADANI mulai 28 Mei yang lalu, sebagai langkah susulan dalam pelaksanaan penyesuaian subsidi diesel.
Kredit – BERNAMA
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
MASA Seru Rakyat Perbaharui Komitmen Lindungi, Pulih Alam Sekitar