Kuala Lumpur, 07 Jun 2024, 12:00 – DALAM menyambut Hari Alam Sekitar Sedunia hari ini, Institut Masa Depan Malaysia (MASA) menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk memperbaharui tekad dalam menjaga dan memulihkan alam sekitar.
Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin, menyatakan bahawa badan pemikir bebas ini sangat berkomitmen untuk memperkukuh kelestarian alam sekitar sesuai dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
“Wawasan ini memberi penekanan kepada perlunya pembangunan ekonomi yang seimbang dan mampan, bagi memastikan kemakmuran dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya dalam kenyataan sempena Hari Alam Sekitar Sedunia yang bertemakan “Tanah Kita, Masa Depan Kita.”
Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 memfokuskan pada keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan perlindungan alam sekitar.
“Sebagai sebahagian daripada komitmen kami terhadap wawasan ini, kami berusaha untuk mempromosikan dasar dan amalan pengurusan tanah secara lestari. Ini bukan sahaja penting untuk memelihara landskap semula jadi tetapi juga untuk menyokong kehidupan masyarakat setempat,” tambahnya.
Azril turut menyentuh tentang perspektif Islam dalam penjagaan alam sekitar yang mengutamakan elemen pencegahan, pemeliharaan, dan pemuliharaan.
“Dalam Islam, iman, akhlak, dan etika sangat penting dalam hubungan manusia dengan alam sekitar. Al-Quran dan hadis menekankan perlunya kita menjaga bumi dan memikul tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini,” jelasnya.
Hari ini, kita berada pada satu titik kritikal. Tindakan yang kita ambil sekarang akan mempengaruhi keadaan alam sekitar untuk generasi akan datang.
“Dengan mengamalkan amalan mampan dan inovasi, kita dapat memulihkan kerosakan yang telah berlaku pada alam sekitar. Kita adalah generasi yang bertanggungjawab terhadap bumi, atau dikenali sebagai #GenerationRestoration,” kata Azril.
Kredit – BERNAMA
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
MARA Lahirkan Lebih 60,000 Usahawan, Cipta 68,000 Peluang Pekerjaan