CIQ

 

Kuala Lumpur, 29 Mei 2024, 16:00 SISTEM Kod Respons Pantas (QR) akan diperkenalkan untuk pelepasan imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) mulai 1 Jun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, mengumumkan bahawa fasa pertama sistem ini akan memfokuskan kepada penumpang bas rakyat Malaysia di CIQ, manakala penunggang motosikal di KSAB akan menggunakan bukti konsep (POC) selama tiga bulan sebelum sistem ini diperluaskan kepada pengguna kenderaan persendirian, rakyat Singapura, dan akhirnya warganegara lain.

“Fasa pertama ini khusus untuk rakyat Malaysia dahulu. Jika bukti konsep ini berjaya, sistem ini akan diperluaskan kepada kumpulan lain,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa dengan kod QR ini, semua rakyat Malaysia yang ingin ke Singapura perlu memuat turun aplikasi MySejahtera dan juga sistem MyTrip untuk proses pelepasan imigresen.

Beliau bercakap pada sidang media yang diadakan sempena Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bil.1 2024 dan lawatan ke Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin BSI di Johor Bahru hari ini. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, turut hadir.

Fadillah turut menyatakan bahawa pelaksanaan kod QR ini dijangka akan mengurangkan masa menunggu penumpang bas BSI pada waktu puncak dari 120 minit kepada 15 minit, dan tempoh menunggu bas di KSAB akan dikurangkan dari 90 minit kepada 15 minit.

Tempoh menunggu penunggang motosikal di BSI akan dikurangkan dari 40 minit kepada 30 minit, sementara di KSAB dari 45 minit kepada 30 minit.

Beliau turut memaklumkan bahawa Singapura telah mengumumkan bahawa semua warga asing yang memasuki negara tersebut dengan kereta melalui pusat pemeriksaan Tuas atau Woodlands boleh menggunakan kod QR sebagai alternatif kepada pasport untuk pelepasan imigresen yang lebih cepat dan mudah.

Pada tahun 2023, seramai 116 juta pengembara melalui kompleks CIQ di BSI dan KSAB, dengan 53.8 juta pengembara direkodkan dari Januari hingga 15 Mei tahun ini, dengan purata 398,000 pengembara sehari.

Fadillah juga memaklumkan bahawa mesyuarat hari ini telah meluluskan 26 cadangan inisiatif baru dengan anggaran peruntukan sebanyak RM130 juta untuk dilaksanakan dalam Fasa 4.

Dari jumlah tersebut, tujuh inisiatif ‘quick win’ berjumlah RM1.75 juta akan dilaksanakan segera, manakala baki 19 cadangan inisiatif baru memerlukan permohonan tambahan dari Kementerian Ekonomi.

“Pelaksanaan inisiatif sedia ada di Fasa 1 telah bermula sejak tahun 2019, dengan 17 inisiatif siap sepenuhnya, tiga sedang dilaksanakan, dan satu masih dalam proses perolehan. Dalam Fasa 2, dua daripada empat inisiatif telah dilaksanakan, sementara Fasa 3 mengalami penangguhan bagi satu inisiatif dan beberapa inisiatif masih dalam proses awal atau telah digugurkan,” jelasnya.

Beliau juga mengadakan tinjauan mengejut ke CIQ, BSI pada pukul 4.15 pagi tadi untuk melihat sendiri proses perjalanan antara Malaysia dan Singapura, serta berjumpa dengan pengguna perkhidmatan awam dan petugas di lokasi tersebut.

Krise – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Daftar Sistem GeoAgro Dahulu Sebelum Mohon Budi Madani – KPKM