Kuala Lumpur, 29 Mei 2024, 12:00 – PETANI, penternak, dan pengusaha akuakultur di negara ini diingatkan untuk mendaftar terlebih dahulu dalam Sistem GeoAgro sebelum memohon program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani).
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui satu kenyataan, memaklumkan bahawa individu yang memenuhi syarat layak boleh membuat pendaftaran melalui portal yang telah disediakan.
“Petani, penternak, dan pengusaha akuakultur yang berkelayakan perlu mendaftar terlebih dahulu di Sistem GeoAgro melalui pautan https://geoagroregister.kpkm.gov.my dan kemudian membuat permohonan di Portal Budi Madani di pautan https://budimadani.gov.my,” kata kenyataan tersebut.
Antara syarat untuk memohon Budi Madani ialah individu atau pertubuhan perlu berdaftar dengan KPKM melalui Sistem Pendaftaran GeoAgro, dan pendapatan kasar tahunan hasil pertanian mestilah antara RM50,000 hingga RM300,000.
Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, memaklumkan bahawa permohonan untuk program Budi Madani akan dibuka mulai hari Selasa.
Penerima yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM200 sebulan yang selari dengan pelaksanaan subsidi diesel.
Beliau menjelaskan bahawa pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak boleh memohon di bawah kategori Budi Individu, sementara petani dan pekebun kecil boleh memohon di bawah kategori Budi Agri-Komoditi.
Untuk kelayakan Budi Individu, pemohon mestilah warganegara Malaysia, memiliki kenderaan diesel persendirian yang didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan bukan kenderaan mewah yang berusia kurang dari 10 tahun, cukai jalan aktif, serta pendapatan tahunan individu atau pasangan tidak melebihi RM100,000.
Sementara itu, KPKM juga memaklumkan bahawa subsidi dan insentif sedia ada untuk nelayan dan pesawah akan terus dikekalkan.
“Bagi nelayan, kerajaan akan terus memberikan subsidi diesel pada harga RM1.65 seliter kepada pemilik vesel perikanan Zon A, B, dan C tertakluk kepada kuota yang ditetapkan,” jelas kenyataan tersebut.
“Bagi pesawah pula, kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) akan dinaikkan dari RM360 per tan metrik kepada RM500 per tan metrik pada tahun 2023.”
KPKM juga mengumumkan penambahbaikan bagi insentif pembajakan daripada RM100 per hektar per musim kepada RM160 per hektar per musim, dan memperkenalkan insentif penuaian sebanyak RM50 per hektar per musim.
Dengan kenaikan kadar ini, pesawah akan menerima bayaran insentif pembajakan dan penuaian sebanyak RM210 per hektar per musim.
Untuk permohonan fleet card diesel bersubsidi bagi kenderaan pengangkutan yang layak di bawah Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 2.0, permohonan perlu dibuat melalui sistem MySubsidi Diesel di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/.
Sebarang pertanyaan mengenai bantuan tunai subsidi diesel sektor pertanian boleh dibuat dengan menghubungi Bilik Gerakan KPKM di talian 03-8870 1207 atau 1147, dari pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada hari bekerja, atau melalui e-mel di geoagroadmin@kpkm.gov.my.
Pemohon juga boleh hadir ke jabatan atau agensi KPKM yang berhampiran untuk mendapatkan khidmat nasihat mengenai pengisian borang permohonan.
Kredit – SHarian
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Chatbot baharu berkuasa AI dalam WhatsApp dilancar tidak lama lagi