Kuala Lumpur

 

Kuala Lumpur, 23 Mei 2024, 16:00 KUALA Lumpur kini dinobatkan sebagai bandar raya kedua terbaik di Asia Tenggara selepas Singapura menurut Indeks Bandar Global Oxford Economics 2024. Dalam senarai terbaru ini, ibu kota Malaysia berada di kedudukan ke-135 daripada 1,000 bandar di seluruh dunia.

Singapura menduduki tempat teratas di Asia Tenggara dengan kedudukan ke-42 dalam indeks tersebut. Bandar utama lain di rantau ini termasuk Bangkok di Thailand yang berada di kedudukan ke-192, Manila di Filipina di tempat ke-256, dan Jakarta di Indonesia di kedudukan ke-284.

Secara keseluruhan, New York di Amerika Syarikat (AS) menduduki tempat pertama dalam Indeks Bandar Global Oxford Economics, diikuti oleh London di United Kingdom (UK) dan San Jose di AS.

Menurut Oxford Economics, Indeks Bandar Global ini melibatkan 1,000 bandar besar dari 163 negara di seluruh dunia. Indeks ini mengukur lima kategori utama iaitu ekonomi, modal insan, kualiti kehidupan, alam sekitar, dan tadbir urus, yang digabungkan untuk menghasilkan skor keseluruhan bagi setiap bandar.

Dalam kategori ekonomi, Kuala Lumpur berada pada kedudukan ke-106, yang dinilai berdasarkan saiz ekonomi, struktur, pertumbuhan, prestasi sejarah, dan potensi masa depan bandar.

Bagi modal insan, yang mengukur iklim pendidikan dan perniagaan, Kuala Lumpur berada di tempat ke-21.

Namun, Kuala Lumpur berada pada kedudukan ke-391 dalam kualiti kehidupan, yang menilai manfaat tinggal di bandar dan kesejahteraan penduduk termasuk kewangan, kesihatan, dan akses kepada kemudahan.

Dalam kategori alam sekitar dan tadbir urus, Kuala Lumpur masing-masing berada di kedudukan ke-526 dan ke-334.

Selain Kuala Lumpur, bandar raya Georgetown di Pulau Pinang berada di kedudukan ke-351 dalam indeks ini, diikuti oleh Melaka di tempat ke-359 dan Johor Bahru di kedudukan ke-376.

Mark Britton, Pengarah Perkhidmatan Bandar Oxford Economics, menyatakan bahawa bandar raya adalah pusat kepada ketamadunan manusia, di mana inovasi dan kemajuan bergabung.

Beliau menambah bahawa dinamik kompleks bandar sering kali menyukarkan pemahaman umum mengenai faktor kejayaan sesebuah bandar.

“Indeks Bandar Global Oxford Economics memberikan rangka kerja yang konsisten untuk menilai kekuatan dan kelemahan 1,000 bandar raya utama di dunia.

Dengan tambahan unjuran kami, organisasi dan pembuat dasar boleh membuat keputusan strategik yang lebih bermaklumat.

“Walaupun skor indeks ini berdasarkan prestasi semasa, terdapat potensi pergerakan yang besar dalam ranking pada masa depan, disebabkan oleh pelbagai trend global yang mempengaruhi bandar-bandar ini.

Ini termasuk ketidaktentuan ekonomi, ketidakstabilan politik, paras hutang yang tinggi, globalisasi, tekanan ke atas kesihatan dan perumahan, serta kesan perubahan iklim. Trend ini berpotensi mengubah ranking bandar-bandar ini,” jelasnya.

Kredit – BHarian

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Melaka Terima Dua Artifak Dipercayai Peninggalan Hang Tuah