Hang Tuah

 

Kuala Lumpur, 20 Mei 2024, 12:00 – KERAJAAN Melaka baru-baru ini menerima dua artifak berharga iaitu Keris Sundang dan sepasang Keris Hukum yang dipercayai milik Laksamana Hang Tuah. Artifak ini dikatakan telah diwarisi turun-temurun sejak kira-kira 600 tahun lalu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, memaklumkan bahawa artifak tersebut diterima daripada Tun Muhammad Amin Tun Ahmad, yang merupakan waris ke-11 Hang Tuah dan berasal dari Kepulauan Bintan, Riau di Indonesia.

“Keris Sundang ini dipercayai merupakan peninggalan Hang Tuah dan merupakan hadiah daripada Tun Perak, yang juga merupakan bapa mentuanya. Hulu keris ini diperbuat daripada perak sebagai simbol anugerah daripada Tun Perak kepada menantunya,” jelasnya kepada pemberita pada Selasa.

Selain itu, sepasang Keris Hukum, yang juga dikenali sebagai keris sula, diterima sebagai artifak kedua. Keris ini digunakan untuk menjatuhkan hukuman mengikut titah sultan, di mana satu keris digunakan untuk lelaki dan satu lagi untuk wanita, tambahnya.

Majlis penyerahan artifak tersebut diadakan di sebuah hotel di Ayer Keroh dan dihadiri oleh Exco Pelancongan, Warisan, Seni, dan Budaya Negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Penyerahan artifak ini merupakan sebahagian daripada usaha memelihara warisan sejarah dan memperkenalkan sejarah dan kejayaan pahlawan Melayu kepada rakyat, khususnya generasi muda.

Datuk Seri Ab Rauf menyatakan bahawa artifak milik Laksamana Hang Tuah ini akan menjadi tarikan utama dalam Pameran Hang Tuah yang akan berlangsung selama sebulan pada bulan Jun sebagai sebahagian daripada Tahun Melawat Melaka 2024. Pameran ini juga akan memaparkan artifak sejarah Hang Tuah dari Okinawa, Jepun, India, dan Turkiye.

Beliau menambah, peninggalan sejarah ini membuktikan pengembaraan dan pelayaran Hang Tuah serta menunjukkan bahawa beliau berasal dari Melaka sejak abad ke-14.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Konsert M.Nasir ‘Cipta’, Menanti Penggemar Seni Ogos Ini